Rupanya ada beberapa sebab Rozali Ismail lepas jawatan di Puncak Niaga

Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) dan bersara sebagai pengarah syarikat berkuat kuasa 30 Jun depan.

Tokoh korporat berkenaan akan terus berkhidmat dalam kapasiti semasanya sepanjang tempoh notis bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, lembaga pengarah telah meneliti perkara tersebut dengan mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya, termasuk keadaan kesihatan Rozali ketika ini, komitmen peribadi serta keperluan memastikan kesinambungan kepimpinan dan pematuhan kepada amalan tadbir urus korporat yang baik.

Rozali, 69, merupakan pengasas PNSB Water Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.

Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) itu dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif PNHB serta kumpulan pada 24 April 1997.

Beliau yang pernah memegang jawatan pengerusi eksekutif syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga adalah bekas Bendahari UMNO Selangor.

BACA JUGA Shell akui kemungkinan ada stesen terputus bekalan