Guan Eng cadang lima langkah selamatkan 1.1 juta PMKS
Kerajaan disaran mengambil lima langkah kewangan jangka pendek untuk menyelamatkan perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan ketika negara berdepan krisis ekonomi global.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah itu termasuk menyediakan pinjaman sebanyak RM50,000 tanpa faedah dan tanpa cagaran kepada 100,000 PMKS dengan keseluruhan nilai mencecah RM5 bilion.
Menurutnya, beliau telah menyerahkan surat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), pada mesyuarat Majlis Presiden PH, 8 April lalu.
Menerusi perkongsian kandungan surat itu dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng merujuk kepada masalah mod ‘survival’ dihadapi 1.1 juta PMKS susulan perang di Asia Barat yang mengakibatkan harga minyak melonjak tinggi.
Beliau berkata, kerajaan menjadi harapan untuk meringankan kos beban PMKS dan menjanakan perniagaan supaya mereka tidak terpaksa gulung tikar menjelang akhir tahun ini.
Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, cadangan lain ialah pelaksanaan moratorium bayaran faedah untuk pinjaman sedia ada daripada institusi kewangan hingga akhir tahun.
Menggantung kenaikan
Seterusnya, moratorium ke atas pelaksanaan cukai tambahan, peluasan kos pematuhan dan pengawalseliaan, dengan menggantung kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois serta sumbangan dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing yang berkuat kuasa sejak akhir tahun lalu.
Selain itu, beliau mencadangkan agar semua pelabur tempatan dan asing diwajibkan membeli 50 peratus sumber bekalan daripada pengeluar tempatan melainkan ia tidak ada dalam pasaran tempatan.
“Cadangan kelima ialah melonggarkan kerenah birokrasi dan penguatkuasaan ketat dalam tempoh krisis ini,” kata Guan Eng.
Bekas Menteri Kewangan itu berpendapat PMKS kini turut menghadapi masalah kecairan kewangan selain kemeruapan atau ketidaktentuan harga sumber mentah, tekanan dan gangguan rantaian bekalan serta lonjakan kos penghantaran dan logistik.
“Pembekal sumber mentah enggan memberikan hutang atau syarat kredit satu hingga tiga bulan, sebaliknya mahu urusan perniagaan dijalan berdasarkan wang tunai.
“Tanpa sumber mentah, PMKS tidak mampu mengeluarkan barangan mereka.
“Ini menyukarkan urusan kewangan banyak PMKS yang terpaksa membiayai kos lain yang sudah melambung tinggi,” kata Guan Eng lagi.
BACA JUGA Isu harga diesel: Berubahlah usah tolak beban kepada anak cucu