Isu harga diesel: Berubahlah usah tolak beban kepada anak cucu
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Semasa makan semalam keluarlah cerita kebun dan kenaikan minyak diesel. Pekebun-pekebun macam saya ini biasanya ada kenderaan 4×4 yang menggunakan diesel.
Saya guna Land Rover Discovery 2.0 tahun 2001. Dah berusia kira-kira 25 tahun. Masih mampu membawa saya ke Laman Pok Nik dengan selesa. Cuma, bila harga diesel naik, tak cukup RM200 sekali isi.
Jadi, ada kawan yang dah beli 4×4. Bila saya tanya “Dah pernah bawa ke kebun ke?”, dia jawab “Belum”.
Dari dahulu lagi saya kata “Aku nak beli EV bila berumur 65 tahun. EV ni tahan dalam 10 tahun. Jadi, silap-silap aku yang jalan dulu. Jika EV jalan dulu, mungkin aku dah tak perlukan kereta”. Itu logik sayalah. Namum, pandangan ini boleh diubah.
Lagi pun nak kena simpan duitlah. Ini adalah perbelanjaan pilihan, bukannya wajib. Bila dah berusia kena ada strategi kewangan yang jelas. Tak boleh berperangai sama dengan orang muda, kena sedar diri.
Kenaikan harga minyak sekarang ini sepatutnya dijadikan batu loncatan untuk kita berubah.
Mengapa? Jika subsidi diteruskan seperti sekarang, kita sebenarnya menolak masalah ke hadapan dan hutang subsidi ini kena dibayar oleh anak cucu kita. Kata sayangkan anak cucu?
Bayar sendiri
Saya nak jadi atok yang bertanggungjawab. Bayar sendiri apa yang saya nikmati. Bukannya tinggalkan hutang untuk Hussain, Nuha, Fatimah, Safiyyah, Ali dan Nayla bayarkan. Mereka pun ada cabaran masing-masing.
Dalam masa sama, kita juga kena tambah produktiviti kerana hanya melalui produktiviti pendapatan boleh bertambah. Ini adalah cabaran yang kita dah tanggung sekian lama.
Bila kita dikenali sebagai orang yang produktif dan menambah nilai, mudah nak tinggalkan majikan yang tak menilai kedudukan kita. Jika kita sama sahaja dengan orang lain, siapa yang nak berasa terkesan dengan ketiadaan kita?
Ini adalah prinsip saya dari dahulu lagi. Saya cuba perturunkan prinsip ini kepada anak cucu saya.
Hidup ini keras, kan?
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA Bersatu dah ‘naik angin’, PN masih menggagau cari Ketua Pembangkang