AMANAH hersedia hadapi pertandingan tiga penjuru di Melaka dan Johor

FOTO BERITA: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Komuniti Bukit Bintang berlangsung meriah dengan kehadiran ratusan penduduk di Flat Hang Tuah, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, Muhammad Faris Ariffin Ketua Amanah Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Asri Talib Ketua Amanah Bukit Bintang, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Parlimen Bukit Bintang, Ben Fong Kok Seng serta barisan Ahli Jawatankuasa AMANAH kawasan. Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah itu turut dihadiri komuniti setempat yang terdiri daripada kira-kira 780 unit kediaman, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.

Khalid turut memuji keunikan komuniti Flat Hang Tuah yang disifatkan sebagai contoh terbaik perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama, dengan sebahagian penduduk telah menetap di kawasan tersebut lebih 50 tahun. “Kawasan ini menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi, bukan sahaja ketika Aidilfitri, malah dalam sambutan perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Ia wajar dijadikan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

beliau terlebih dahulu mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta merakamkan penghargaan kepada penganjur tempatan termasuk Pengerusi MPP Zon Bukit Bintang, Ben Fong Kok Seng dan komuniti setempat atas kejayaan menganjurkan majlis dalam suasana penuh harmoni.

Mengulas perkembangan antarabangsa, beliau melahirkan kekecewaan terhadap situasi konflik di Timur Tengah yang menurutnya semakin meruncing, khususnya apabila gencatan senjata yang diharapkan tidak bertahan lama.

Beliau mendakwa tindakan berterusan pihak tertentu dalam konflik tersebut bertujuan menggagalkan usaha perdamaian serta mengekalkan ketegangan di rantau berkenaan, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan global. “Kita berharap satu penyelesaian yang adil dan berkekalan dapat dicapai agar konflik berpanjangan ini dapat ditamatkan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Khalid turut mengulas kemungkinan perubahan landskap kuasa dunia, dengan menyatakan bahawa perkembangan semasa berpotensi membawa kepada kemunculan kuasa baharu di peringkat antarabangsa.

Di peringkat domestik, beliau memaklumkan bahawa Parti Amanah Negara bersedia menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang, khususnya di Melaka dan Johor.

Menurutnya, kecenderungan tersebut timbul susulan hasrat UMNO-Barisan Nasional untuk bertanding secara bersendirian, sekali gus memerlukan Pakatan Harapan membuat persediaan rapi.

“Kita lebih cenderung kepada pertandingan dua penjuru atas semangat perpaduan, namun jika berlaku tiga penjuru, kita perlu bersedia dan menilai strategi berdasarkan situasi semasa,” jelas beliau. Tambahnya, keputusan pilihan raya negeri akan datang dijangka memberi gambaran awal terhadap strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)

Beliau juga berpandangan bahawa PRU16 tidak akan diadakan dalam masa terdekat berikutan cabaran geopolitik global dan keadaan ekonomi semasa, sebaliknya lebih berkemungkinan berlangsung pada tahun hadapan.

Mengulas situasi di Wilayah Persekutuan, Khalid memaklumkan bahawa AMANAH berkemungkinan bertanding di beberapa kerusi sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, bergantung kepada pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan.

Sementara itu menurut Ben Fong, program tersebut melibatkan kira-kira 780 unit kediaman di kawasan Flat Hang Tuah yang bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh harmoni.

“Penduduk di sini sentiasa menunjukkan semangat kebersamaan, bukan sahaja ketika Hari Raya Aidilfitri, malah juga ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali,” katanya.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah itu turut menjadi platform mengukuhkan hubungan antara komuniti setempat, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat Malaysia.
