Infrastruktur dan kebajikan rakyat terus jadi fokus DUN Kota Damansara

FOTO BERITA: Majlis Ramah Mesra Aidilfitri DUN Kota Damansara bersama YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, Selangor. 12hb April 2026 (Ahad)

Kira-kira 2,000 penduduk pelbagai kaum memeriahkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri DUN Kota Damansara yang diadakan di Dewan Serbaguna Seksyen 7, di sini hari ini.

ADUN Kota Damansara, YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan antara usaha berterusan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum.

“Majlis ini dianjurkan sebagai ruang untuk kita bersua muka dan merapatkan hubungan antara masyarakat Melayu, Cina dan India di Kota Damansara. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran hampir 2,000 orang,” katanya.

Menurut beliau, dewan berkenaan mampu menampung kira-kira 500 orang pada satu-satu masa, dan jumlah kehadiran keseluruhan menunjukkan komitmen tinggi masyarakat terhadap program kemasyarakatan yang dianjurkan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas sokongan berterusan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Majlis yang diadakan secara sederhana itu turut memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan apabila penyediaan makanan melibatkan pengusaha kecil dari sekitar Kota Damansara, termasuk penjaja dan peniaga gerai.

“Kita sengaja libatkan peniaga tempatan supaya makanan yang disediakan dapat diperkenalkan kepada orang ramai. Jika mendapat sambutan, ini boleh membantu mereka meningkatkan jualan pada masa hadapan,” jelasnya.

Mengulas pencapaian di kawasan tersebut, Muhammad Izuan berkata, antara fokus utama beliau sejak 2024 ialah penambahbaikan infrastruktur dan kebajikan rakyat, khususnya di kawasan perumahan kos rendah.

“Banyak kawasan seperti Seksyen 4, 6 dan 7 yang tidak pernah diturap lebih 10 hingga 15 tahun telah berjaya dinaik taraf dalam tempoh dua tahun ini. Ini memberi keselesaan kepada penduduk,” katanya.

Tambah beliau, projek naik taraf jalan utama seperti Persiaran Mahogani dan Persiaran Surian turut diberi perhatian, selain pembinaan laluan baharu yang telah lama dinantikan penduduk, termasuk projek yang dijangka siap dalam masa terdekat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Dalam aspek kebajikan, beliau memberi tumpuan kepada golongan B40 terutama dalam bidang pendidikan dengan kerjasama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita mengenal pasti pelajar yang berisiko tidak menduduki peperiksaan SPM dan turun padang memahami masalah mereka, sama ada dari segi kewangan atau kesihatan. Hasilnya, sebahagian mereka berjaya menduduki peperiksaan,” katanya.

Menyentuh perkembangan politik semasa, beliau menegaskan bahawa pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pertandingan dua atau tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.

“Fokus utama kami tetap kepada isu rakyat, khususnya kos sara hidup dan ekonomi. Kita tidak mahu terperangkap dengan polemik lama sehingga mengabaikan keperluan sebenar rakyat,” ujarnya.

Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana harmoni dengan pelbagai juadah Aidilfitri disajikan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
