Isu wanita dan jihad: Menteri agama gesa rujuk mufti, elak kekeliruan

Perdebatan mengenai penglibatan wanita dalam jihad perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani secara berhemah dengan merujuk institusi seperti Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Bila ada perbezaan pandangan, sudah pasti ada pihak yang akan mendamaikannya dengan melihat secara umum dan merujuk jabatan mufti,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji Musim 1447H/2026M (Advance Party 1), yang menyaksikan seramai 141 petugas berlepas ke Arab Saudi bagi persiapan operasi haji.

Zulkifli mengulas perdebatan di media sosial berhubung penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan, termasuk penyertaan beberapa selebriti dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0.

Isu itu mencetuskan pelbagai reaksi, dengan sebahagian netizen mempersoalkan tindakan wanita terlibat, terutama yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil.

Sementara itu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, turut mengingatkan supaya semua pihak berhati-hati dalam menggunakan istilah berkaitan jihad, khususnya apabila melibatkan peranan wanita.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menegaskan bahawa wanita tidak seharusnya didedahkan kepada bahaya tanpa keperluan, manakala lelaki pula bertanggungjawab memastikan keselamatan isteri dan anak-anak terpelihara.

Perdebatan mengenai isu ini terus berlangsung dalam talian, dengan pelbagai pandangan dikemukakan, sekali gus menonjolkan keperluan penjelasan lebih tuntas daripada pihak berautoriti agama.