KPM pindah murid SK Balaban Jaya susulan risiko tanah runtuh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memindahkan sementara murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah susulan isu keselamatan akibat kerosakan infrastruktur sekolah.
Menurut kementerian itu, kerosakan tersebut berpunca daripada pergerakan tanah dan cerun yang menyebabkan keadaan sekolah tidak lagi selamat untuk digunakan.
Sehubungan itu, murid terlibat akan dipindahkan ke SK Pekan Beluran, dengan kemudahan pengangkutan disediakan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.
“KPM bertanggungjawab memastikan keperluan pendidikan murid terpelihara, di samping memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah,” menurut kenyataan itu.
KPM turut memaklumkan bahawa beberapa sesi libat urus telah dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama ibu bapa dan komuniti setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.
Dalam masa sama, kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan segera bagi menampung keperluan penempatan sementara murid, sementara menunggu pembinaan semula SK Balaban Jaya.
Isu tersebut menarik perhatian selepas keadaan struktur sekolah dilaporkan terjejas akibat faktor geologi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan kakitangan.