Mohamad Sabu jamin bekalan beras cukup, seru rakyat elak pembelian panik

FOTO BERITA: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Raja 2026 bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu Ahli Parlimen Kota Raja. Turut hadir YBhg Datin Seri Normah Alwi PEKAWANIS, Hj. Moh Azmi Bin Jusoh, Ketua AMANAH Kota Raja dan pimpinan kawasan di Dewan MBSA Kemuning Utama Seksyen 32 Shah Alam, Selangor. 11hb April 2026. (Sabtu)

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Raja berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung di Dewan MBSA Kemuning Utama, Seksyen 32 di sini hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bersama isteri, YBhg Datin Seri Normah Alwi yang juga mewakili PEKAWANIS, selain Ketua AMANAH Kota Raja, Hj. Mohd Azmi Jusoh serta barisan pimpinan kawasan.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bersama isteri, YBhg Datin Seri Normah Alwi yang juga mewakili PEKAWANIS, Tuan Haj. Khalid Samad, YB Azli Yusof Ahli Parlimen Shah Alam, YB Dato’ Izham Hashim selain Ketua AMANAH Kota Raja, Hj. Mohd Azmi Jusoh serta barisan pimpinan kawasan.

Dalam ucapannya, Mohamad Sabu menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama masyarakat pelbagai kaum dalam suasana Aidilfitri, di samping menghargai jasa para petugas dan sukarelawan yang sentiasa membantu pembangunan kawasan Kota Raja.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran majlis seperti ini bukan sahaja sebagai platform mengeratkan silaturahim, malah menjadi ruang untuk menyantuni golongan memerlukan termasuk anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan.

“Dalam kegembiraan menyambut Syawal, kita tidak melupakan mereka yang memerlukan bantuan. Inilah semangat kebersamaan yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas situasi global semasa, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap konflik yang berterusan di rantau Teluk Parsi yang berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, khususnya rantaian bekalan makanan.

Menurut beliau, kenaikan harga minyak mentah yang kini mencecah sekitar AS$100 setong berisiko meningkat sehingga AS$200 sekiranya konflik berpanjangan, sekali gus memberi impak kepada kos pengangkutan, insurans dan harga barangan keperluan asas.

“Walaupun harga beras import tidak meningkat secara mendadak, kenaikan kos logistik akibat harga bahan api akan memberi kesan kepada harga akhir di pasaran. Begitu juga dengan harga baja yang akan meningkat, seterusnya menjejaskan pengeluaran makanan seperti jagung dan soya,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan kini memantau secara rapi perkembangan harga barangan secara harian bagi memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa bekalan beras negara masih mencukupi sehingga hujung tahun ini, sekali gus mengelakkan berlakunya pembelian panik dalam kalangan rakyat.

“Alhamdulillah, setakat ini rakyat Malaysia masih berbelanja secara berhemah tanpa melakukan pembelian panik. Bekalan ayam dan telur juga masih mencukupi dan belum terjejas,” katanya lagi.

Beliau turut berharap rundingan damai yang sedang berlangsung di Islamabad antara pihak terlibat akan membuahkan hasil positif demi kestabilan global.

Mengakhiri ucapannya, Mohamad Sabu menyeru semua pihak agar bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan perubahan ekonomi dunia dengan memperkukuh daya tahan negara, termasuk dalam aspek keselamatan makanan.

Sementara itu Pegawai Khas Parlimen Kota Raja merangkap Ketua AMANAH Kota Raja, Mohd Azmi Jusoh menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Raja yang berlangsung meriah

Dalam ucapannya, beliau memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kehadiran tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri tersebut.

Mohd Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu serta para pemimpin, pegawai agensi kerajaan dan rakan strategik yang hadir bagi memeriahkan majlis.

Menurut beliau, penganjuran majlis seperti ini bukan sekadar jamuan hari raya, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memahami antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat berbilang kaum

“Yang penting hari ini ialah kita dapat bersama-sama mengenal hati budi antara satu sama lain, sekali gus memperkukuh hubungan dalam komuniti,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi dan pihak yang terlibat menyediakan juadah serta sokongan bagi menjayakan majlis, termasuk agensi berkaitan industri makanan dan pertanian serta institusi kewangan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa majlis sambutan tahun ini dianjurkan secara sederhana selaras dengan saranan kerajaan agar berbelanja secara berhemah, namun tetap memastikan kebajikan pengunjung terjaga.

“Kita ambil pendekatan sederhana, tetapi memastikan semua tetamu dapat menikmati juadah dengan selesa dan membawa pulang kenangan manis,” ujarnya.

“Kita ambil pendekatan sederhana, tetapi memastikan semua tetamu dapat menikmati juadah dengan selesa dan membawa pulang kenangan manis,” ujarnya.

Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni itu turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional Aidilfitri serta penyertaan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.

