Nga Kor Ming salur RM72,000 kepada 24 masjid di Teluk Intan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyalurkan peruntukan berjumlah RM72,000 kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, setiap masjid menerima RM3,000 menerusi inisiatif berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri Peringkat Parlimen Teluk Intan, hari ini.

Dalam ucapannya, Nga turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan agama merupakan kekuatan utama negara.

“DAP adalah parti untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Kami akan terus komited menyantuni setiap lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya.

Majlis itu dihadiri lebih 3,000 penduduk setempat.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar yang juga Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong, serta dua Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin dan Koh Ling Xian.

Beberapa wakil pengurusan masjid yang hadir turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang disalurkan.

Program tersebut dilihat sebagai antara usaha memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat, khususnya sempena sambutan Aidilfitri.