Perang belum tamat, Israel sudah tanggung kos berbilion dolar

Israel menganggarkan kos konflik selama 40 hari melibatkan Iran dan Lubnan mencecah kira-kira AS$17.5 bilion (sekitar RM80 bilion), menurut laporan media antarabangsa.

Agensi berita Anadolu Agency yang memetik Channel 12 melaporkan, perbelanjaan ketenteraan langsung dianggarkan sekitar 40 bilion shekel (AS$12.9 bilion).

Kos awam pula diunjurkan antara 13 hingga 14 bilion shekel (AS$4.2 hingga AS$4.5 bilion), menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 54 bilion shekel (AS$17.5 bilion).

Bagaimanapun, anggaran itu masih bersifat awal dan tidak merangkumi kos pembinaan semula serta kerugian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat penutupan sebahagian sektor ekonomi sepanjang konflik.

Selain itu, Israel turut memperuntukkan kira-kira 7 bilion shekel (AS$2.3 bilion) sebagai rizab bagi perbelanjaan pertahanan.

Perbelanjaan ketenteraan meliputi pembelian senjata, kos operasi penerbangan, penggunaan anggota simpanan serta kerosakan akibat serangan.

Sementara itu, kos pampasan di bawah cukai harta dianggarkan sekitar 12 hingga 13 bilion shekel (AS$3.8 hingga AS$4.2 bilion), termasuk bayaran kepada perniagaan yang terjejas akibat pengurangan aktiviti ekonomi.

Sehingga kini, lebih 28,000 tuntutan kerosakan harta dilaporkan, dengan jumlah tertinggi direkodkan di Tel Aviv.

Terdahulu, Iran dan Amerika Syarikat mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu dengan pengantaraan Pakistan bagi membuka laluan ke arah penamatan konflik.

Dalam perkembangan berkaitan, Lubnan mengisytiharkan tempoh berkabung negara selepas serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 254 orang, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan gencatan senjata yang masih rapuh.