Petronas nafi kaitan penghantaran diesel ke Filipina
Petronas menafikan penglibatan syarikat itu dalam laporan penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia ke Filipina.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel.
“Keutamaan utama Petronas kekal memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan untuk Malaysia, melalui penyelarasan rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Penjelasan tersebut dibuat susulan laporan Philippine News Agency (PNA) yang mendakwa penghantaran diesel berkenaan bertujuan menambah bekalan bahan api negara itu.
Menurut laporan tersebut, langkah berkenaan dikaitkan dengan ketidaktentuan pasaran minyak global susulan krisis di Asia Barat.
Terdahulu, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut menafikan dakwaan berkenaan dan mengesahkan diesel tersebut bukan berasal dari Malaysia.
Isu itu mencetuskan perhatian selepas laporan media asing berkenaan tersebar luas di media sosial.