Polis ditempatkan di stesen minyak sempadan bendung penyeludupan
Polis akan ditempatkan di stesen minyak di kawasan sempadan negara sebagai langkah memperketat kawalan dan membendung aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata arahan berkenaan telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara susulan keputusan Jemaah Menteri minggu lalu.
Menurutnya, penugasan itu akan dilaksanakan segera dengan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi di sempadan.
“Oleh kerana keputusan itu minggu lepas, saya telah beri arahan kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan seterusnya mengatur gerak,” katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
Saifuddin berkata, walaupun berdepan kekangan anggota, langkah tersebut tidak akan menjejaskan fungsi teras Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita ada kira-kira 120,000 anggota dan struktur sedia ada seperti narkotik, trafik dan jenayah komersial masih kekal,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penugasan itu tidak melibatkan semua stesen minyak, sebaliknya tertumpu kepada kira-kira 90 stesen berhampiran sempadan daripada lebih 4,000 stesen di seluruh negara.
“Ini bukan bersifat menyeluruh. Ia khusus di kawasan sempadan bagi menghalang aktiviti penyeludupan,” katanya lagi.
Menurutnya, penugasan tersebut juga bersifat sementara dan akan dinilai semula berdasarkan keadaan semasa.
Terdahulu, Saifuddin meninjau operasi keselamatan di kawasan sempadan bagi menilai tahap kesiapsiagaan agensi penguat kuasa di bawah kementeriannya.
Sebelum ini, cadangan penempatan anggota keselamatan di stesen minyak sempadan diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selepas mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
Langkah itu bertujuan memperkukuh kawalan susulan beberapa kes penahanan berkaitan aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan.