TVET bukan pilihan kedua, Rozana seru pelajar rebut peluang pendidikan kemahiran

FOTO BERITA: Majlis Penutup Program Jom Ke Kolej Kerajaan (TvET) oleh Puan Rozana Zainal Abidin Setiausaha Politik Menteri Pendidikan. Turut hadir YB Tuan Dr Gunarajah George ADUN Sentosa di Dewan Serbaguna MBDK, Bandar Sentosa, Klang, Selangor. 11hb ada April 2026 (Sabtu)

Majlis Penutup Program Jom Ke Kolej Kerajaan (TVET) di Dewan Serbaguna MBDK, Bandar Sentosa hari ini disempurnakan oleh Rozana Zainal Abidin, sekali gus menutup tirai program yang memberi fokus kepada laluan pendidikan teknikal dan vokasional bagi pelajar lepasan SPM. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunarajah George, bersama barisan kepimpinan tempatan serta wakil pelbagai institusi pendidikan dan industri.

Dalam ucapannya, Rozana merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya DUN Sentosa atas komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan melalui penganjuran program berimpak tinggi seperti TVET dan majlis penghargaan pelajar cemerlang. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang SPM, termasuk yang meraih 11A, 10A dan 9A, sambil mengingatkan bahawa kejayaan tersebut perlu diterjemahkan kepada usaha berterusan di peringkat lebih tinggi.

“Ini bukan titik akhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar di universiti. Anda semua bakal menjadi pemimpin masa depan dan perlu membina jati diri serta kemahiran komunikasi yang baik,” katanya. Dalam masa sama, beliau menggalakkan pelajar cemerlang untuk kembali menyumbang kepada sekolah masing-masing sebagai mentor kepada adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan.

Mengulas mengenai dasar pendidikan negara, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, satu pelan jangka panjang bagi menstruktur semula sistem pendidikan agar lebih mampan, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa. Pelan tersebut memberi penekanan kepada kualiti dan ekuiti pendidikan, termasuk memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu yang tidak hanya bergantung kepada peperiksaan akhir, pengukuhan Bahasa Melayu dan Sejarah, serta peluasan pendidikan TVET seawal peringkat sekolah rendah.

“TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi satu laluan penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara,” tegas beliau. Rozana turut menyatakan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran ke matrikulasi sekiranya membuat permohonan, selain menasihatkan agar mereka mengemas kini keputusan peperiksaan melalui sistem UPU untuk peluang kemasukan ke universiti.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor atas pelbagai inisiatif pendidikan di bawah program Iltizam Selangor Penyayang, termasuk bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang layak.

Dalam masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunarajah George, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak media dan semua yang hadir memberikan sokongan terhadap program berkenaan. Menurut beliau, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan DUN Sentosa yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, dengan fokus utama memperkenalkan laluan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan SPM.

“Hari ini kita laksanakan tiga program serentak iaitu Jejak ke Kolej TVET, program Back to School untuk golongan MBR serta majlis penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM. Ini mencerminkan komitmen kita dalam menyokong pendidikan dari pelbagai sudut,” katanya.

Dalam program Back to School, seramai 300 keluarga daripada golongan B40 menerima bantuan sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan. Sumbangan tersebut, menurut beliau, adalah hasil sokongan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Amirudin Shari.

“Pencapaian ini wajar diraikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain. Ia juga bukti bahawa dengan usaha dan sokongan keluarga serta guru, kejayaan dapat dicapai,” ujar beliau.

Mengulas mengenai kepentingan TVET, Dr. Gunarajah menegaskan bahawa laluan pendidikan tersebut kini semakin relevan dan tidak seharusnya dipandang rendah, khususnya bagi pelajar yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

“Kerajaan negeri, kerajaan pusat serta pelbagai institusi termasuk badan antarabangsa seperti UNICEF dan kolej-kolej kemahiran menyediakan pelbagai program berkualiti. Pelajar tidak perlu risau kerana masih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran mengikut minat dan kemahiran masing-masing,” katanya.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu turut menampilkan penyertaan pelbagai institusi latihan dan industri, termasuk kolej TVET dan syarikat swasta, bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dan latihan kemahiran.

Beliau turut menggalakkan pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan mengunjungi pejabat DUN atau laman web institusi berkaitan agar tidak terlepas peluang yang disediakan. “Jangan lepaskan peluang ini. Setiap pelajar mempunyai masa depan dan laluan tersendiri untuk berjaya,” tambah beliau.

“Jangan lepaskan peluang ini. Setiap pelajar mempunyai masa depan dan laluan tersendiri untuk berjaya,” tambah beliau.

Majlis berkenaan merupakan kemuncak kepada program sehari yang menghimpunkan ratusan pelajar, ibu bapa serta institusi pendidikan dan industri, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran.