UPNM belanja RM1 juta bangunkan Kampung Alai melalui program MADANI

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan lapan projek dan aktiviti sosial di Kampung Alai menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM).

Naib Canselornya, Arman Rumaizi Ahmad, berkata antara projek utama termasuk pembinaan gelanggang futsal berbumbung, menaik taraf kemudahan Masjid Al-Falihin dengan pemasangan karpet dan kamera litar tertutup (CCTV), serta penambahbaikan premis ekonomi komuniti.

Menurut beliau, program itu turut melibatkan pemasangan lampu di kawasan perkuburan baharu, pembinaan mercu tanda kampung serta pelaksanaan program pembangunan pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, sumbangan turut disalurkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sekolah dan golongan asnaf.

“Program ini bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan infrastruktur, malah memperkasa aspek pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan peranan UPNM sebagai universiti pertahanan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Program KAM UPNM di Kampung Alai, hari ini.

Pada majlis itu, projek berkenaan diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Abdul Razak Abdul Rahman.

Arman berkata penglibatan UPNM dalam program berkenaan mencerminkan komitmen institusi itu dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti secara mampan, selain kecemerlangan akademik dan pertahanan.

“Ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti melalui pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran serta pengukuhan jaringan strategik antara universiti dan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Kesihatan UPNM turut melaksanakan program kesejahteraan komuniti melibatkan saringan kesihatan percuma, ceramah kesedaran kesihatan, vaksinasi influenza serta pameran bantuan asas kecemasan untuk penduduk setempat.