Anwar ingatkan pelajar tahfiz amalkan tabayyun, tolak maklumat palsu
Dalam era digital dan ledakan maklumat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelajar institusi tahfiz supaya berpegang kepada prinsip tabayyun dengan meneliti kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Beliau berkata, sikap berhati-hati amat penting bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat.
Menurutnya, pelajar tahfiz perlu menjadi contoh dalam berpegang kepada kebenaran dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasaskan fakta.
“Usah terpengaruh dengan suara-suara sumbang yang tidak berlandaskan fakta serta gemar menabur dakyah palsu,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz Negeri Terengganu.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berakhlak, berilmu dan berintegriti.
Beliau berkata, pelajar tahfiz bukan sahaja perlu menguasai al-Quran, tetapi turut melengkapkan diri dengan ilmu dan teknologi moden bagi melahirkan generasi huffaz profesional.
“Peganglah pada kebenaran, perkukuh ilmu, dan teruskan usaha menjadi insan yang membawa manfaat kepada ummah dan negara,” katanya.
Majlis tersebut turut menjadi platform mendekati pelajar tahfiz dalam suasana penuh adab, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan ilmu dan nilai kemanusiaan.