Krisis global realiti tetapi jangan panik – Saifuddin
Kerajaan mengakui kesan konflik global terhadap bekalan tenaga dan ekonomi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun rakyat diminta tidak bertindak panik dalam menghadapi situasi itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cabaran utama kerajaan ketika ini ialah menyampaikan realiti keadaan secara telus tanpa mencetuskan kegusaran berlebihan.
Menurutnya, rakyat perlu bersedia menghadapi kemungkinan kesan daripada krisis global, namun pada masa sama mengelakkan sikap penafian atau terlalu selesa seolah-olah keadaan tidak memberi impak.
“Cabaran kepada kerajaan ialah kita hendak mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat ‘the pain is coming’. Tetapi pada masa sama, kita tidak mahu rakyat panik,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, kerajaan turut berusaha mengelakkan wujudnya “denial syndrome” dan sikap sambil lewa dalam kalangan masyarakat.
“Kita juga tidak mahu rakyat berada dalam keadaan ‘denial syndrome’ atau terlalu ‘complacent’ seolah-olah semuanya seperti biasa,” katanya.
Dalam masa sama, Saifuddin berkata kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat termasuk memastikan bekalan tenaga, barangan asas dan perkhidmatan kesihatan kekal mencukupi.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan anggota keselamatan, khususnya yang bertugas di kawasan sempadan.
Katanya, hasil tinjauan mendapati terdapat kemudahan asas di beberapa lokasi penugasan yang masih tidak memuaskan.
“Saya tengok sendiri tempat bertugas anggota kita. Tempat berlindung mereka itu tidak begitu memuaskan.
“Tempat berlindung itu macam stor burger sahaja. Stor burger lebih cantik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan penambahbaikan segera dilaksanakan bagi memastikan kemudahan lebih selesa dan sesuai untuk anggota.
Tambahnya, usaha tersebut boleh dilakukan tanpa melibatkan kos besar, terutama bagi kemudahan asas di pos kawalan sempadan.