PMX beri RM60 juta untuk basmi kemiskinan Terengganu
Kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan khas RM60 juta bagi program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun depan, dengan fokus kepada peningkatan pendapatan dan perumahan golongan berpendapatan rendah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan MADANI untuk menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersasar.
“Sebab itu untuk negeri Terengganu, program pembasmian kemiskinan kita luluskan peruntukan khas RM60 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan di peringkat lapangan.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menekankan kepentingan pendidikan holistik dengan menggesa pelajar institusi agama menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Katanya, institusi tahfiz, pondok dan pesantren tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan teknologi.
“Penguasaan teknologi maklumat termasuk artificial intelligence ini penting, jangan kita ketinggalan dan biarkan orang lain terus ke hadapan,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM1.8 juta bagi menaik taraf kemudahan di 18 institusi tahfiz dan pondok di negeri tersebut.
Anwar turut mengingatkan kepentingan keseimbangan antara ilmu dan adab dalam sistem pendidikan, selain menyeru masyarakat mengelakkan perpecahan.
“Cabaran kita adalah membina kefahaman, jati diri dan akhlak, di samping menguasai ilmu baharu seperti teknologi,” katanya.