Fitnah melampau! Gambar palsu kaitkan dengan ganja, pejabat menteri buat laporan kepada MCMC

Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menempelak keras penyebaran imej palsu di media sosial yang cuba mengaitkan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan dakwaan menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.

Dalam kenyataan media sebentar tadi, pihak kementerian menegaskan dakwaan tersebut adalah fitnah tidak berasas serta hasil manipulasi digital yang sengaja direka untuk mengelirukan orang awam.

Menurut kenyataan itu, Mohamad Sabu sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Malah, katanya, perbuatan menyebarkan kandungan palsu itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.

Sehubungan itu, satu laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dijalankan serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga, tegas Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan lagi, dinasihatkan agar tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran pengguna Facebook, Firdaus Radzi yang berkongsikan imej yang disunting memaparkan gambar Mohamad di hadapan pokok menyerupai ganja.

Imej diedit dengan logo sebuah portal itu menampilkan tajuk, “Mat Sabu cadang penjawat awam mula tanam ganja di rumah susulan konflik di Asia Barat”.

Walaupun paparan tersebut jelas hasil suntingan jahat, ramai pengguna media sosial terutamanya penyokong pembangkang dilihat tegar berkongsikan imej palsu itu serta memaki hamun Mohamad.

Susulan itu, warganet menggesa pihak berkuasa dan menteri berkenaan yang juga Presiden AMANAH mengambil tindakan undang-undang terhadap pemfitnah terbabit.

BACA JUGA Exco Pas anggap urus minyak negara macam masak mi segera