Kantoi! Pemandu bas riba wanita rupanya dah kahwin, ini pula status perempuan berkenaan
Pemandu bas ekspres yang dikecam orang ramai lantaran memandu sambil meriba seorang wanita, rupanya sahih sudah berkahwin manakala wanita terbabit hanya kenalannya.
Polis mengesahkan hal tersebut dan memaklumkan bahawa lelaki berusia 36 tahun berkenaan dipercayai menetap di Johor manakala wanita di atas riba itu masih belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, bagaimanapun berkata, setakat ini polis belum mendapat maklumat lanjut berhubung kaitan antara pemandu itu dengan wanita terbabit.
Menurutnya, kedua-dua mereka masih gagal dikesan bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis memohon kerjasama pemandu bas ekspres itu dan wanita terbabit dalam rakaman video berkenaan supaya tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan.
“Polis memandang serius kejadian itu kerana ia membabitkan kenderaan awam yang membawa penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam, 12 April lalu di susur masuk kawasan rehat dan rawat (R&R) Bemban arah selatan.
Justeru, katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut juga diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam, syarikat bas ekspres Sri Maju Group memaklumkan bahawa perkhidmatan pemandu terbabit telah ditamatkan serta-merta.
Pihak syarikat terbabit juga telah membuat satu laporan polis terhadap pemandu berkenaan berhubung insiden itu, selain kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurut Sri Maju Group, kejadian itu berlaku pada 12 April lalu ketika bas beroperasi bagi laluan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur ke Larkin di Johor Bahru.
BACA JUGA Pas dakwa ada ‘agamawan bergelar ustaz’ sebar fitnah isu harga minyak