Saksi dedah tengok sendiri wang, barang kemas terlalu banyak sampai melimpah

Pada hari kedua prosiding hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu mengenai puluhan bagasi berisi wang tunai dan barang kemas yang ditemui bertaburan di sebuah kondominium mewah di Pavilion Residences, lapan tahun lepas.

Maklumat itu diberitahu Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang bersara pada Disember 2018.

Menurut kesaksian beliau, pihak polis menemukan sejumlah 71 bagasi, sekotak plastik dan 284 kotak lain semasa operasi pada 5.30 petang 17 Mei 2018.

Katanya, jumlah barang dalam setiap beg bagasi yang dibuka terlalu banyak, dengan salah sebuah bagasi berisi wang tunai dan ada yang bertaburan di atas lantai.

“Apabila kami menemukan bagasi yang berisi wang tunai, kami dapati ia tidak diikat dengan betul dan ada yang bertaburan di atas lantai… kami terpaksa memasukkannya semula ke dalam bagasi serta menarik zipnya,” kata beliau memetik laporan Bernama.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan susulan arahan untuk menggeledah setiap premis yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amar Singh berkata demikian pada hari kedua prosiding kes saman USD14.57 juta difailkan oleh syarikat barang kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia ialah pihak ketiga dalam saman itu.

Amar Singh, yang juga saksi kedua bagi pihak ketiga, berkata bagasi berisi barang kemas terlampau penuh sehingga menjadikan langkah untuk melakukan inventori serta-merta adalah mahsyur.

“Kami tidak dapat mengira dan menyenaraikan barang bukti ini… terlampau banyak.

“Kami tidak membawa mesin penimbang… kami juga bukan pakar dan tidak dapat menentukan sama ada ia emas tulen, tiruan, berlian atau sebaliknya… premis itu juga tiada pendingin hawa,” katanya lagi seperti dilapor semasa disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin.

Beliau berkata pegawai terlibat memilih untuk membalut kesemua bagasi dengan plastik seperti yang dilakukan di lapangan terbang bagi mengekalkan integriti eksibit sebelum membawanya ke Bukit Aman menggunakan lima trak Black Maria.

“Setiap trak diiringi kereta peronda…apabila tiba di Bukit Aman, kami melakukan proses yang sama dan mengiring barang kemas terbabit secara berkelompok ke tempat simpanan berkunci… hanya selepas semuanya selesai, barulah kami benarkan semua orang yang terlibat beredar,” katanya.

Amar Singh juga berkata pemeriksaan dan penilaian barang kemas itu telah dilakukan dari 30 Mei hingga 25 Jun 2018 di Tingkat 34 Menara KPJ.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau, dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala baki 43 lagi tidak berada dalam jagaan mereka.