SPRM berjaya bawa pulang lukisan bernilai tinggi berkait skandal 1MDB
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan empat lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya dibawa pulang.
Nilai keseluruhan karya seni yang dianggarkan sebanyak AS$198,125.00 (RM786,556.25) itu kini berada di ibu pejabat SPRM.
Antara lukisan yang berjaya dibawa pulang termasuklah membabitkan hasil karya artis terkenal dunia seperti Joan Miró – Composition (1953), Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934), Balthus – Etude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961).
SPRM berkata, kejayaan mendapatkan semula aset diseleweng adalah hasil usaha berterusan kerajaan Malaysia melalui pendekatan bersepadu membabitkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa.
“Kesemua karya seni ini ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan yang ketat dan sedang melalui proses penstabilan persekitaran (acclimatisation) bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum proses pembukaan, pengesahan dan penilaian dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).
“Pemulangan karya seni ini bukan sahaja melambangkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga kini, Malaysia berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.
Pencapaian ini menurut SPRM, adalah satu kejayaan signifikan dan sering dijadikan rujukan serta penanda aras (benchmark) di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar.
“Setiap pemulihan aset, termasuk karya seni ini, membuktikan bahawa tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan, walaupun membabitkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks.
“SPRM akan terus memperkukuh usaha pengesanan dan pemulihan aset secara agresif dan strategik, bagi memastikan setiap aset yang diperoleh secara tidak sah dikembalikan kepada negara demi kepentingan rakyat,” katanya.
BACA JUGA Terkini mahkamah tolak permohonan batal saman keluarga Wan Ahmad Faris