Tular aksi MB Perlis nyanyi ‘live’ dengan Ibu Hetty
Tular di media sosial aksi Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah rancak bernyanyi secara langsung dengan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Menerusi rakaman video yang tersebar, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis itu menyanyikan lagu popular Hetty yang popular pada era 1980-an berjudul, “Demi Cinta Ni.. Ye..”.
Susulan itu, media sosial dibanjiri sindiran, termasuk pandangan bahawa Menteri Besar negeri paling kecil di Malaysia itu tidak mahu kalah dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Lirik lagu pop yang antara lain berbunyi, “Malam minggu malam yang ditunggu-tunggu” juga menarik perhatian netizen apabila mengaitkan dengan Minda Presiden yang sinonim dengan Pas.
Rata-rata turut mempersoal di mana suara penyokong Perikatan Nasional (PN) memandangkan jika pemimpin kerajaan yang berbuat demikian pasti dihambur dengan cemuhan.
“MB Perlis ada pendekatan dakwah tersendiri, sama macam MB Kedah. Inilah indahnya Perikatan Nasional. Rakyat tak sabar nak PN bertanding di PRU16.
“MB Perlis syok menyanyi. Takda pula kenyataan Minda Presiden.
“Sat. Minda Presiden sedang cari dalil-dalil untuk menghalalkan nyanyian tersebut.
“Puak dia kalau buat apa pun jadi halal. Cuba swap dengan MB Selangor tengok, berbakul-bakul kena maki,” demikian antara reaksi sinis warganet.
BACA JUGA ‘Datuk Seri mari sini’, gelagat Uwais dan Aesha buat PM Anwar tersentuh hati