Dari medan perang ke pintu sempadan: Veteran ATM kembali berkhidmat

Selepas menamatkan perkhidmatan dalam angkatan tentera, 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini kembali menggalas tanggungjawab, kali ini sebagai barisan hadapan mengawal pintu masuk negara.

Mereka dilantik sebagai anggota Malaysia Border Guard (MBG) di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia(AKPS) dalam usaha memperkukuh keselamatan sempadan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kumpulan itu merupakan sebahagian daripada 220 veteran ATM yang akan diserap secara berperingkat tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 31 anggota akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 di Pelabuhan Klang, manakala selebihnya di ibu pejabat AKPS di Putrajaya.

“Ini bukan pengambilan biasa. Mereka pernah berkhidmat di darat, laut dan udara — pengalaman itu menjadi aset penting dalam menjaga sempadan negara,” katanya pada majlis peluncuran inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran ATM) 2026.

Menurutnya, langkah itu susulan pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM8 juta bagi merekrut 220 veteran ATM.

Saifuddin berkata semua calon melalui saringan ketat termasuk ujian psikometrik, fizikal dan temu duga bagi memastikan mereka memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, pengambilan seterusnya akan diteruskan dalam beberapa fasa bagi melengkapkan keanggotaan tahun ini.

Bagi kerajaan, inisiatif itu bukan sekadar memperkukuh kawalan sempadan, tetapi juga memberi ruang kepada veteran untuk terus menyumbang kepada negara, kali ini di barisan hadapan pintu masuk Malaysia.