Hab minyak : Salah tafsir dokumen kapal cetus kekeliruan

Malaysia dikenal pasti sebagai antara hab pemindahan (transshipment) minyak utama di Asia Pasifik, didorong kedudukan strategik serta perkembangan pesat infrastruktur logistik tenaga.

Menurut laporan itu, kelebihan geografi negara yang berhampiran Singapura sebagai pusat dagangan minyak utama dunia menjadikan Malaysia lokasi penting dalam rantaian bekalan tenaga serantau.

Memetik laporan Berita Harian, yang melaporkan penganalisis industri berpandangan Malaysia semakin memainkan peranan sebagai pusat transit bagi produk petroleum, khususnya bagi aktiviti penyimpanan dan pengedaran minyak.

Naib Presiden Asia Pasifik Wood Mackenzie, Joshua Ngu, berkata Johor muncul antara lokasi utama dengan kemudahan penyimpanan dan terminal moden yang menyokong aktiviti dagangan minyak.

Katanya, aktiviti pemindahan dan penyimpanan minyak seperti diesel berkembang pesat, dengan jumlah dagangan mencecah puluhan juta tan setahun.

“Malaysia sering bertindak sebagai pusat transit dalam rantaian minyak di rantau ini, dengan produk disimpan atau diproses sebelum dihantar ke pasaran lain,” katanya seperti dipetik.

Menurut laporan itu, sebahagian besar minyak yang melalui Malaysia bukan untuk kegunaan domestik, sebaliknya bagi tujuan eksport dalam rantaian dagangan antarabangsa.

Dalam masa sama, Malaysia dan Singapura dilihat saling melengkapi dalam ekosistem perdagangan tenaga, dengan negara ini menyediakan kapasiti tambahan bagi aktiviti penyimpanan dan pemindahan.

Bagaimanapun, laporan itu turut menekankan bahawa kekeliruan boleh timbul apabila dokumentasi perkapalan disalah tafsir.

Menurut penganalisis, dokumen seperti ‘bill of lading” (bil muatan) tidak semestinya mencerminkan asal-usul sebenar sesuatu produk minyak, sebaliknya hanya menunjukkan laluan logistik penghantaran.

Joshua berkata, dalam rantaian perdagangan global, amalan seperti pecahan muatan dan pemindahan antara kapal adalah perkara biasa, sekali gus boleh menyebabkan kekeliruan jika ditafsir secara literal.

“Produk minyak adalah komoditi yang didagangkan secara meluas di peringkat global, dan tidak semestinya bergerak terus dari negara pengeluar ke destinasi akhir,” katanya.

Laporan itu turut menyentuh isu dakwaan berkaitan penghantaran minyak ke negara tertentu, yang menurut penganalisis perlu dinilai secara menyeluruh dan tidak hanya berdasarkan dokumen perkapalan semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai negara perdagangan terbuka, dan aktiviti dagangan minyak melibatkan syarikat antarabangsa adalah sebahagian daripada amalan biasa dalam pasaran global.

Menurutnya, tumpuan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan ekonomi dan tidak terheret dengan salah faham yang berpunca daripada tafsiran tidak tepat terhadap data perdagangan.