Keutamaan sekarang pastikan bekalan tenaga, barangan asas mencukupi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada perlindungan rakyat sambil memastikan kestabilan fiskal dalam menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menetapkan beberapa langkah segera dan jangka sederhana bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin.

“Keutamaan kita adalah memastikan bekalan tenaga dan barangan asas mencukupi supaya kehidupan harian rakyat tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata usaha itu akan digerakkan dengan sokongan PETRONAS serta perancangan awal bagi menjamin kestabilan bekalan dalam tempoh mendatang.

Dalam masa sama, kerajaan akan memperkukuh langkah menampan kos sara hidup melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada kumpulan sasar termasuk pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu.

Bagi mengurus permintaan tenaga, kerajaan turut melaksanakan langkah kecekapan termasuk bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam, selain mempergiat penguatkuasaan melalui Ops Tiris bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan api.

Anwar berkata bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import.

Dalam hal itu, biodiesel dikenal pasti sebagai antara pilihan paling praktikal untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan secara berperingkat sehingga B15 menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Langkah ini penting bukan sahaja untuk menstabilkan bekalan semasa, tetapi juga memperkukuh daya tahan tenaga negara dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan yang realistik dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran global, sambil memastikan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.