KPKM: Terima kasih PMX, fahami kesusahan pesawah, petani

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik langkah kerajaan meningkatkan insentif kepada pesawah serta bantuan diesel kepada golongan sasar, menyifatkannya sebagai tepat pada masanya dalam menghadapi tekanan kos semasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakan menambah baik bantuan kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pengguna diesel yang layak.

Menurut KPKM, langkah itu penting dalam mendepani kesan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian bekalan.

Katanya, pendekatan kerajaan yang memberi keutamaan kepada keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat dilihat selari dengan keperluan semasa sektor agromakanan.

Antara langkah utama ialah peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026.

KPKM berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah dalam mengurangkan kos operasi.

Selain itu, kesinambungan insentif penuaian turut dilihat mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan beras negara.

Kementerian itu juga menyambut baik peningkatan bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.

Menurutnya, bantuan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.

Katanya, peningkatan bantuan itu akan membantu meringankan kos bahan api serta memastikan kelangsungan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan negara.

Dalam masa sama, KPKM berkata langkah melonggarkan syarat pembelian diesel bagi jentera pertanian akan memudahkan operasi sektor agromakanan tanpa kekangan birokrasi.

“Kementerian yakin langkah ini akan memberi impak positif kepada produktiviti serta memperkukuh keterjaminan makanan negara,” menurut kenyataan itu.

KPKM menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan lancar dan mencapai matlamat ditetapkan.

Menurutnya, kementerian kekal komited menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara