Naratif pembangkang tersasar, ekonomi Malaysia stabil dalam bayangan perang AS–Iran
OLEH: MOHD NAJIB HASHIM
Di tengah dunia yang semakin tidak menentu, ada suara yang memilih untuk menenangkan, dan ada yang memilih untuk menakut-nakutkan.
Dalam hiruk-pikuk konflik antara Amerika Syarikat(AS) dan Iran yang kembali menggoncang pasaran global, kita sekali lagi menyaksikan bagaimana keresahan dijadikan alat politik.
Naratif krisis diulang tanpa henti, seolah-olah ekonomi Malaysia sedang menunggu saat untuk runtuh.
Namun sejarah mengajar kita satu perkara yang lebih dalam: bukan semua ribut menumbangkan pokok. Yang menentukan ialah akar.
Dunia hari ini memang sedang berdepan tekanan yang nyata. Ketegangan di Timur Tengah telah melonjakkan harga minyak, mengganggu rantaian bekalan, dan menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.
Dalam keadaan ini, Bank Dunia sendiri mengingatkan bahawa pertumbuhan global akan perlahan dan tekanan inflasi akan meningkat. Ini bukan krisis tempatan. Ini adalah realiti global.
Namun di sinilah perbezaan antara analisis dan propaganda mula terserlah. Apabila krisis global diterjemahkan sebagai kegagalan kerajaan tempatan, maka yang berlaku bukanlah pencerahan tetapi pemesongan.
Hakikatnya, dalam dunia yang semakin perlahan, Malaysia tidak menunjukkan tanda-tanda kejatuhan yang digembar-gemburkan.
Sebaliknya, penilaian Bank Dunia sendiri menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal stabil dengan unjuran sekitar 4.1 peratus bagi 2025.
Lebih menarik, dalam unjuran terkini, angka itu dinaikkan kepada sekitar 4.4 peratus bagi 2026.
Dalam dunia yang sedang menurun momentumnya, Malaysia bukan sahaja bertahan malah dijangka berkembang dengan lebih kukuh.
Ini bukan angka retorik. Ini adalah angka yang lahir daripada analisis institusi global yang tidak berkepentingan dalam politik domestik negara.
Maka daripada unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia ini, pembangkang terutamanya perlu memberi sokongan yang penuh kepada kerajaan dalam menghadapi situasi dunia yang agak huru-hara pada ketika ini.
Sikap tidak kontraktif pembangkang terhadap usaha-usaha kerajaan dalam menghadapi masalah ini bukan sahaja merugikan negara tetapi secara tidak langsung sikap pembangkang akan terus mengheret ekonomi negara ke kancah yang tidak menentu.
Persoalannya bukan lagi sama ada mereka silap tetapi sama ada mereka sengaja memilih untuk tidak memahami.
Naratif ketakutan
Naratif yang sama dapat dilihat dalam polemik harga diesel. Soalan yang diulang berkali-kali kedengaran mudah: jika Malaysia mengeluarkan minyak, mengapa diesel dalam negara masih mahal? Soalan ini kelihatan logik, tetapi sebenarnya berdiri di atas asas yang salah.
Malaysia sememangnya negara pengeluar petroleum. Namun industri tenaga tidak pernah beroperasi dalam ruang tertutup.
Sejak sekian lama, petroleum berkualiti tinggi yang dihasilkan dalam negara sebahagiannya dieksport kerana nilainya yang lebih tinggi di pasaran global.
Pada masa yang sama, keperluan domestik dipenuhi melalui import yang sesuai dari segi spesifikasi dan kos.
Ini bukan dasar baharu. Ini bukan kegagalan kerajaan hari ini. Ini adalah struktur yang telah lama wujud termasuk ketika pihak yang sama pernah mentadbir negara.
Untuk berpura-pura seolah-olah realiti ini tidak wujud adalah satu bentuk ketidakjujuran intelektual. Lebih membimbangkan, apabila kekeliruan ini diulang tanpa henti, ia mula membentuk persepsi yang salah dalam kalangan rakyat.
Hakikat sebenar jauh lebih kompleks, tetapi juga lebih jujur. Harga minyak, termasuk diesel, ditentukan oleh pasaran global. Ia bergantung kepada kestabilan geopolitik, kos pengeluaran, rantaian bekalan, dan kadar pertukaran mata wang.
Apabila konflik seperti perang AS–Iran berlaku, harga minyak dunia meningkat bukan kerana dasar Malaysia, tetapi kerana ketidaktentuan global.
Dalam keadaan ini, kerajaan tidak sekadar menjadi pemerhati. Mekanisme subsidi bersasar, kawalan harga, dan pelarasan dasar fiskal adalah antara langkah yang digunakan untuk memastikan kesan kepada rakyat tidak menjadi beban yang tidak tertanggung.
Ini bukan soal gagal mengawal, ini soal mengurus realiti yang tidak boleh dielakkan.
Dalam perbincangan mengenai mata wang, kelemahan ringgit sering dijadikan simbol kegagalan. Namun dunia kewangan tidak berfungsi dalam vakum.
Dalam tempoh ketidaktentuan, pelabur global cenderung beralih kepada dolar Amerika Syarikat sebagai aset selamat. Akibatnya, hampir semua mata wang negara membangun mengalami tekanan yang sama.
Dalam konteks ini, peranan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk memastikan kestabilan, bukan untuk melawan arus global yang tidak realistik untuk ditentang sepenuhnya.
Harus diingatkan, turun naik mata wang adalah sebahagian daripada dinamika ekonomi terbuka, bukan petunjuk kepada keruntuhan.
Apabila Malaysia dilihat dalam konteks serantau, gambaran yang lebih jelas mula terbentuk.
Analisis yang sering diketengahkan oleh Nikkei Asia menunjukkan bahawa Asia Tenggara secara keseluruhannya akan memperlahankan pertumbuhan akibat tekanan global.
Namun kelembapan ini bukan kejatuhan. Malaysia, dengan kepelbagaian ekonominya dan kedudukannya sebagai pengeksport komoditi, mempunyai keupayaan untuk menampan sebahagian daripada kejutan tersebut.
Yang lebih membimbangkan sebenarnya bukanlah keadaan ekonomi itu sendiri, tetapi cara ia dipersembahkan kepada rakyat.
Apabila fakta dipilih secara selektif, apabila angka 4.1 peratus diabaikan, dan peningkatan kepada 4.4 peratus tidak disebut maka yang tinggal hanyalah naratif yang dibina atas ketakutan.
Dalam ekonomi, keyakinan bukan sekadar perasaan. Ia adalah faktor sebenar yang menentukan pelaburan, perbelanjaan, dan arah masa depan.
Menghakis keyakinan dengan naratif yang tidak lengkap bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh membawa kesan yang lebih buruk daripada cabaran yang cuba digambarkan.
Malaysia hari ini tidak sempurna. Tiada ekonomi yang sempurna dalam dunia yang bergolak.
Risiko tetap wujud, daripada inflasi kepada ketidaktentuan pasaran global. Namun pada masa yang sama, asas ekonomi negara masih berdiri.
Permintaan domestik masih hidup, sektor utama masih bergerak, dan dasar ekonomi masih berfungsi.
Akhirnya, kita kembali kepada persoalan yang lebih besar, antara ribut dan akar. Ribut akan sentiasa datang, membawa bersama ketakutan dan ketidaktentuan. Tetapi akar menentukan sama ada kita tumbang atau terus berdiri.
Dan setakat ini, segala petunjuk, termasuk penilaian Bank Dunia sendiri menunjukkan bahawa Malaysia masih berdiri. Bukan kerana tiada cabaran, tetapi kerana asasnya masih kukuh.
Yang rapuh, barangkali, bukan ekonomi itu sendiri tetapi naratif pembangkang yang cuba memisahkan rakyat daripada kebenaran.