Putrajaya percepat agenda biodiesel ganti diesel import

Kerajaan akan mempercepat penggunaan biodiesel sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula sektor tenaga, dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil di tengah ketidaktentuan pasaran global.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu dilihat sebagai pendekatan praktikal yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat, selain memanfaatkan keupayaan domestik sedia ada.

Menurutnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara prinsip bersetuju bahawa biodiesel merupakan antara pilihan biobahan api alternatif paling bersedia untuk diperluas penggunaannya.

“Dalam keadaan global yang tidak menentu, kita perlu memilih langkah yang boleh digerakkan segera dan memberi kesan langsung kepada ekonomi serta bekalan tenaga negara,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global, hari ini.

Akmal berkata pengeluaran biodiesel Malaysia pada 2025 mencecah 975,207 tan metrik, berbanding kapasiti keseluruhan sekitar 2.36 juta tan metrik, menunjukkan masih terdapat ruang besar untuk meningkatkan penggunaan.

Sehubungan itu, kerajaan bercadang menaikkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 secara berperingkat, bermula dengan pelaksanaan B12 tanpa melibatkan kos tambahan serta menggunakan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata penggunaan biodiesel bukan sahaja dapat memanjangkan bekalan diesel domestik, malah membantu mengurangkan pendedahan negara kepada turun naik harga minyak global.

Langkah itu juga akan disokong melalui pelan mitigasi biobahan api serta peningkatan kapasiti depoh kepada B20 dan B30 secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurut Akmal, pendekatan tersebut merupakan sebahagian strategi jangka sederhana kerajaan dalam memastikan keselamatan tenaga negara kekal terjamin, selain memperkukuh daya tahan ekonomi dalam menghadapi cabaran luaran.