Rakyat nak tahu Exco Perlis ‘promosi’ judi online? Kecuaian atau penajaan terselindung?

Tindakan seorang Exco Kerajaan Negeri Perlis yang tampil dengan jersi memaparkan logo didakwa berkait dengan syarikat judi online kini mencetuskan gelombang persoalan, khususnya dalam konteks integriti dan konsistensi moral kepimpinan politik.

Bagaimana seorang pemimpin negeri boleh terlepas pandang perkara sepenting ini atau adakah ia sebenarnya bukan satu “kesilapan”?

Dalam sebuah acara melibatkan artis dan pempengaruh terkenal seperti Team sebuah stesen radio popular, pendedahan logo tersebut secara visual berpotensi menjadi promosi percuma berskala besar. Persoalannya, siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada pendedahan ini?

Adakah Exco berkenaan benar-benar tidak menyedari kewujudan logo tersebut, atau wujud unsur penajaan yang tidak diumumkan kepada umum?

Lebih membimbangkan, adakah ini mencerminkan kelemahan dalam proses semakan dan kawal selia, atau sekadar sikap sambil lewa terhadap isu yang jelas sensitif dalam masyarakat?

Namun dalam menilai isu ini, satu persoalan lebih besar tidak dapat dielakkan sejauh mana konsistensi pendirian terhadap isu perjudian dalam kalangan pemain politik sendiri?

Tidak lama dahulu, ketika tampuk pentadbiran dipegang oleh Perikatan Nasional, keputusan untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada 8 kepada 22 kali setahun pernah mencetuskan perdebatan hangat. 

Ketika itu, ia dipertahankan atas alasan hasil dan keperluan fiskal.

Hari ini, apabila timbul isu yang melibatkan simbol atau jenama dikaitkan dengan perjudian, reaksi yang muncul pula sarat dengan kecaman moral dan retorik tegas.

Persoalannya, adakah pendirian ini benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar berubah mengikut kedudukan dan kepentingan politik semasa?

Setakat ini, ketiadaan penjelasan rasmi hanya menambah kekeliruan. Rakyat berhak tahu adakah ini sekadar kecuaian individu, atau simptom kepada budaya politik yang semakin longgar terhadap isu prinsip?

Dalam era ketelusan dan kebertanggungjawaban, persoalan ini tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan.