AMANAH WP Sasar 3 kerusi Parlimen PRU16, Putrajaya sntara fokus utama

FOTO BERITA: Majlis Rumah Terbuka Pengerusi AMANAH Wilayah Perseketuan Tuan Hj Khalid Samad dan pimpinan AMANAH Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna Persint 8, Putrajaya. 15hb April 2026 (Rabu)

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khalid Samad, berlangsung meriah dengan kehadiran pengunjung yang melebihi jangkaan di Dewan Serbaguna Presint 8, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada wakil media serta orang ramai yang hadir, sambil menyifatkan program tersebut sebagai usaha bersama antara AMANAH Wilayah Persekutuan dan KADAR yang turut dianjurkan di beberapa lokasi lain termasuk Kelantan.

“Alhamdulillah, kehadiran pada hari ini amat menggalakkan, malah lebih ramai daripada yang kita jangkakan. Ini menunjukkan sambutan masyarakat terhadap program seumpama ini semakin baik,” katanya.

Menurut beliau, walaupun AMANAH bukan wakil rakyat di kawasan Putrajaya ketika ini, sambutan yang diterima membuktikan hubungan antara parti dan masyarakat setempat semakin erat.

Khalid turut menzahirkan harapan agar interaksi antara penduduk Putrajaya dan Parti Amanah Negara dapat terus diperkukuhkan, khususnya di bawah kepimpinan kawasan yang diterajui Prof. Dr. Rashid.

Dalam perkembangan politik semasa, beliau memaklumkan bahawa AMANAH Wilayah Persekutuan berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bergantung kepada bentuk kerjasama dalam gabungan politik sama ada atas tiket Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Harapan.

“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, kita menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya tiga hingga empat kerusi Parlimen, antaranya Putrajaya, Labuan dan Titiwangsa,” jelasnya.

Beliau menambah, Putrajaya dilihat sebagai kerusi strategik berikutan komposisi pengundinya yang majoritinya terdiri daripada penjawat awam yang lebih memahami prestasi dan pengurusan kerajaan.

“Kita yakin prestasi Kerajaan Perpaduan akan dinilai secara objektif oleh penjawat awam, sekali gus memberi kelebihan kepada calon yang mewakili Pakatan Harapan,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan bahawa AMANAH akan tetap menghormati keputusan kepimpinan gabungan sekiranya berlaku perubahan dalam agihan kerusi.

Menyentuh soal calon, beliau memaklumkan bahawa parti telah mempunyai senarai pendek termasuk dalam kalangan pimpinan kawasan, pemuda dan wanita, namun keputusan muktamad akan dibuat pada masa sesuai.

“Saya berpandangan pilihan raya umum hanya akan diadakan tahun hadapan apabila tempoh matang, namun pilihan raya negeri seperti Melaka dan Johor yang tidak boleh ditangguhkan akan tetap berlangsung mengikut jadual,” katanya.

Majlis tersebut turut menjadi platform mengeratkan silaturahim sempena Aidilfitri, dengan Khalid mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin kepada semua yang hadir dan mengikuti perkembangan program berkenaan.