Bila dunia risau krisis tenaga, Malaysia–Australia selaras strategi bersama
Malaysia dan Australia menyelaraskan pendekatan strategik dalam memastikan keselamatan tenaga serta kestabilan rantaian bekalan, di tengah kebimbangan global susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya, Anthony Albanese, selepas istiadat sambutan rasmi hari ini.
“Persahabatan kedua-dua negara terus diperkukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif yang antara lain berkongsi kepentingan dalam memastikan kemakmuran, keselamatan dan kestabilan serantau,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu turut berlandaskan kepercayaan strategik serta komitmen terhadap pasaran terbuka dan perdagangan berasaskan peraturan.
Kedua-dua pemimpin juga menyatakan kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga global.
“Kami senada menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik di Asia Barat serta dampaknya, termasuk terhadap harga dan aliran bekalan penting seperti minyak dan gas asli,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia dan Australia mengiktiraf keperluan untuk saling melengkapi dalam hubungan perdagangan, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga.
“Kedua-dua negara berperanan sebagai pembekal tenaga antara satu sama lain, dan komited memastikan aliran perdagangan yang stabil serta telus,” kata Anwar.
Beliau menambah, usaha turut akan dipertingkat untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tenaga, di samping menyokong peralihan tenaga dan memperluas penggunaan tenaga boleh baharu.
Langkah itu, katanya, penting bagi menjamin keselamatan tenaga dan kemakmuran bersama di peringkat serantau.