Kenapa pakar kata unjuran ekonomi Malaysia kebal? 

Ketika ekonomi global terus berdepan tekanan, Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.4%, berbanding 4.1% sebelum ini.

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata pertumbuhan itu didorong oleh kekuatan dalaman ekonomi.

“Pertumbuhan ini akan terus dipacu oleh permintaan domestik yang disokong keadaan pasaran buruh yang kukuh serta pelaksanaan langkah sokongan pendapatan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Ini bermaksud ekonomi Malaysia ketika ini banyak bergantung kepada kekuatan domestik termasuk perbelanjaan rakyat dan pasaran pekerjaan.

Untuk rekod, ekonomi negara berkembang 5.2% tahun lalu, menunjukkan momentum yang masih berterusan.

Namun, Bank Dunia mengingatkan bahawa prospek tersebut tidak bebas daripada risiko.

“Prospek tersebut tidak terlepas daripada risiko penurunan, termasuk ketidaktentuan dasar perdagangan global dan tekanan inflasi,”katanya.

Selain itu, konflik berpanjangan di Asia Barat turut dilihat sebagai faktor yang boleh memberi kesan lebih kompleks kepada ekonomi negara.

Dari sudut tenaga, kenaikan harga minyak global boleh meningkatkan kos dan beban subsidi kerajaan.

“Kedudukan negara sebagai pengeksport bersih gas berpotensi memberikan sedikit imbangan dari segi hasil,”katanya.

Sementara itu, inflasi dijangka kekal sederhana sekitar 2.3%, bergantung kepada pergerakan harga minyak global.

Dalam masa sama, kadar kemiskinan dijangka terus menurun hasil pertumbuhan gaji, pasaran buruh yang baik serta bantuan bersasar.

“Namun, kadar penurunan ini dijangka lebih perlahan berikutan pertumbuhan ekonomi yang semakin sederhana dan ruang fiskal yang semakin terhad,” katanya.

Bank Dunia turut mengingatkan bahawa turun naik harga minyak boleh memberi kesan kepada kos sara hidup, khususnya melalui harga bahan api dan makanan.

“Langkah rasionalisasi subsidi yang berterusan berisiko memberi kesan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah,”katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan pendekatan dasar yang seimbang.

“Gabungan dasar konsolidasi fiskal yang berterusan serta dasar monetari yang akomodatif dilihat sebagai pendekatan terbaik,”katanya.