Perang Timur Tengah ganggu bekalan? Selangor umum pakej RM131 juta
Kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat dan industri menghadapi kesan krisis bekalan tenaga susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata langkah itu diambil selepas gangguan rantaian bekalan global berpunca daripada konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang turut menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz.
“Perang ini telah menyebabkan gangguan bekalan tenaga, dan walaupun ia reda, ekosistem minyak mentah, gas serta bahan kritikal lain dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pakej itu dirangka melalui semakan belanjawan negeri dengan fokus kepada lima keutamaan utama, termasuk keterjaminan makanan, pengurangan kos sara hidup, kawalan inflasi, peningkatan penggunaan pengangkutan awam serta bantuan bersasar kepada golongan terkesan.
Antara inisiatif utama ialah program Gudang Makanan Selangor dengan peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan stok penimbal makanan asas, selain Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima.
Kerajaan negeri turut menyediakan subsidi pengangkutan awam, bantuan sarapan percuma di 873 sekolah serta sokongan kepada lebih 17,000 pemain sektor pertanian termasuk pesawah, nelayan dan penternak.
“Langkah ini merupakan usaha persediaan negeri bagi melengkapi inisiatif di peringkat Persekutuan dalam menangani kesan krisis global,” kata Amirudin.
Dalam masa sama, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Invest Selangor akan mengadakan sesi libat urus bersama industri utama seperti pembinaan, pembuatan, logistik dan perkhidmatan yang dijangka terkesan.
Selain itu, Selangor turut mempercepat penerokaan peluang dalam peralihan tenaga termasuk penggunaan solar, teknologi simpanan bateri dan hidrogen serta kecekapan tenaga di bangunan kerajaan.
Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan semakan berkala setiap dua minggu melalui pasukan petugas khas bagi memastikan tindak balas yang lebih proaktif terhadap perkembangan semasa.
“Kerajaan negeri akan terus memantau situasi dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.