Unjuran bank dunia naik dua kali petanda positif untuk Malaysia – Tengku Zafrul
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Kumpulan Bank Dunia sebanyak dua kali, sebagai petanda positif.
Unjuran pertumbuhan Malaysia dinaikkan daripada 4.0 peratus kepada 4.1 peratus, sebelum sekali lagi meningkat kepada 4.4 peratus walaupun keadaan ekonomi global semakin tidak menentu.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan ekonomi Malaysia terus berkembang dengan peluang pekerjaan bertambah, perbelanjaan rakyat meningkat serta aktiviti domestik kekal rancak.
“Dalam keadaan ekonomi global makin tak menentu, bank dunia tak turunkan unjuran pertumbuhan Malaysia tapi naik. Bukan sekali tetapi dua kali.
“Ini bermakna ekonomi kita terus berkembang. Peluang pekerjaan bertambah, perbelanjaan rakyat meningkat, dan aktiviti dalam negara kekal rancak,” katanya dalam ulasan di laman X malam tadi.
Pun begitu, Tengku Zafrul mengingatkan agar tidak terlalu selesa dengan perkembangan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia masih terdedah kepada faktor luaran yang boleh memberi kesan pantas kepada ekonomi negara.
“Apa yang berlaku di luar negara boleh ubah keadaan kita dengan cepat. Bila harga minyak dunia naik, kesannya akhirnya sampai kepada kos barang dan perniagaan di sini. Bila perdagangan global tegang, peluang eksport dan pelaburan juga boleh terjejas,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengakui bahawa ekonomi Malaysia masih bergantung kepada beberapa sektor utama, sekali gus menuntut usaha berterusan untuk mempelbagaikan asas ekonomi negara.
Menurutnya, fokus perlu diberikan bukan sahaja untuk mengekalkan momentum semasa, tetapi memastikan ekonomi Malaysia menjadi lebih pelbagai, tahan serta bersedia menghadapi sebarang kejutan pada masa depan.
“Momentum ini petanda baik tetapi masa depan ekonomi kita ditentukan oleh apa yang kita bina sekarang,” katanya.