Video DUN tular: Netizen persoal kenapa Exco Kedah ‘lari topik’

Tindakan ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, gagal menjawab soalan asas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mencetuskan kritikan dalam kalangan netizen.

Rakaman video perbahasan yang tular di media sosial menunjukkan beliau tidak memberikan jawapan jelas terhadap soalan berkaitan perancangan kerajaan negeri Kedah dalam membantu rakyat menghadapi kesan krisis tenaga global.

Sebaliknya, jawapan yang diberikan dilihat menyimpang apabila lebih tertumpu kepada kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa menyentuh inti pati soalan.

Perkembangan itu mengundang pelbagai reaksi dalam talian, dengan ramai mempersoalkan keupayaan wakil kerajaan negeri menjawab isu dasar yang dianggap asas.

“Ini soalan polisi, bukan ceramah politik. Kenapa tak jawab terus?” menurut antara komen netizen.

Ada juga yang menyindir latar belakang akademik beliau.

“Siap ada gelaran Dr, tapi soalan basic pun tak boleh jawab?” kata seorang pengguna.

Sebahagian netizen turut menyifatkan jawapan tersebut sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu sebenar.

“Rakyat tanya pelan tindakan, bukan nak dengar serangan politik,” menurut satu lagi komen yang tular.

Pemerhati berpandangan insiden itu mencerminkan kelemahan dari segi penyampaian dasar, khususnya dalam konteks tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan bekalan tenaga global yang sedang dihadapi rakyat.

Setakat ini, tiada penjelasan lanjut diberikan oleh pihak kerajaan negeri Kedah berhubung pelan khusus bagi menangani isu tersebut.