‘War Room’ air negara dilancar, rakyatpun boleh pantau situasi simpanan

Kerajaan melancarkan Pusat Bilik Operasi “War Room” sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin ekstrem, khususnya melibatkan keselamatan bekalan air.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang menegaskan pendekatan baharu berteraskan data dan koordinasi menyeluruh antara agensi kerajaan.

“War Room ini menjadi nadi pemantauan strategik negara dengan menggabungkan data, kepakaran dan tindakan pelbagai agensi bagi memastikan bekalan air kekal terjamin, stabil dan berdaya tahan,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, platform itu menyatukan kerjasama antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran, Agensi Pengurusan Bencana Negara serta operator air bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan dilaksanakan.

“Pendekatan ini mencerminkan peralihan daripada kaedah reaktif kepada pengurusan yang lebih proaktif dan berpaksikan data dalam menghadapi cabaran air negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia di beberapa negeri susulan penurunan paras empangan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan pemantauan semasa, situasi bekalan air negara secara keseluruhan masih terkawal, namun beberapa empangan menunjukkan trend penurunan paras air akibat cuaca panas dan kering berpanjangan.

Sehubungan itu, kerajaan telah menggerakkan pelbagai langkah mitigasi termasuk penyediaan sumber air alternatif, pemasangan teknologi rawatan tambahan serta pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari sumber baharu.

“Walaupun terdapat gangguan bersifat setempat, majoriti kawasan masih menikmati bekalan air yang stabil,” menurut SPAN.

Orang ramai kini boleh memantau status semasa 43 empangan utama negara secara masa nyata melalui platform War Room, sebagai sebahagian usaha meningkatkan ketelusan pengurusan sumber air.

Dalam pada itu, kerajaan turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan penggunaan air secara berhemah.

“Kerjasama rakyat amat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan air negara,” katanya.