335 bakal Jemaah Haji Sepang terima santunan KASIH Dhuyufurrahman

FOTO BERITA: Majlis Santunan KASIH Duyufurrahman bersama YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri KPKT merangkap Ahli Parlimen Sepang di Mentari 2, Movenpick Convention Centre, Kompleks TH Sepang, Jalan Masjid KLIA, Sepang, Selangor. 16hb April 2026 (Khamis)

Seramai 335 bakal jemaah haji dari Parlimen Sepang disantuni dalam Majlis Santunan KASIH Dhuyufurrahman yang berlangsung di Mentari 2, Mövenpick Convention Centre, Kompleks TH Sepang, di sini.

Program yang disempurnakan oleh Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang itu dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Negeri Selangor.

Menurut beliau, program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen menerusi Inisiatif KASIH Rahmah’38 (iKR’38) Parlimen Sepang sebagai tanda keprihatinan terhadap para Dhuyufurrahman yang bakal menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci.

“Program ini bukan sahaja sebagai platform menyampaikan sumbangan, malah memberi panduan serta persediaan rohani dan fizikal kepada bakal jemaah sebelum berangkat,” katanya dalam ucapan.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang terpilih sebagai tetamu Allah SWT pada tahun ini.

“Haji yang mabrur bukan diukur ketika di Tanah Suci, tetapi pada siapa kita setelah kembali — sama ada kita menjadi insan yang lebih baik, lebih sabar dan lebih dekat dengan Allah SWT,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyumbangkan dua set replika Kaabah bernilai RM28,000 kepada Tabung Haji Cawangan Sepang sebagai bahan pendidikan bagi memberi pendedahan awal berkaitan ibadah haji kepada pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan inisiatif pembukaan akaun Tabung Haji melibatkan peruntukan sebanyak RM15,000 khusus kepada pelajar sekolah di Parlimen Sepang yang aktif menyertai program Solat Subuh Macam Jumaat. Usaha itu bertujuan menyemai budaya menabung sejak usia muda serta menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti keagamaan.

Pada masa sama, para bakal jemaah haji turut menerima sumbangan insentif serta keperluan asas sebagai persediaan ke Tanah Suci bagi memudahkan urusan sepanjang menunaikan ibadah.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Tabung Haji Negeri Selangor, Puan Hajah Zurita Ahmad Raffie bersama barisan pegawai Tabung Haji, wakil Pejabat Daerah, Pejabat Agama Islam serta Pejabat Pendidikan Daerah Sepang dan Kuala Langat.

Program ini mencerminkan usaha berterusan Ahli Parlimen Sepang dalam memperkukuh hubungan komuniti serta menyantuni pelbagai lapisan masyarakat melalui pendekatan menyeluruh dan berterusan.
