Betul ke semua sekolah di Selangor dapat sarapan percuma?

Kerajaan Selangor akan melaksanakan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di semua 873 sekolah di negeri itu bagi meringankan beban ibu bapa susulan tekanan kos sara hidup akibat krisis tenaga global.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bermula Ogos ini.

“Setiap hari, satu sekolah di setiap PBT akan disalurkan bantuan ini… kita akan menggilir sekolah-sekolah dan ia akan dilaksanakan untuk semua tahap,” katanya pada sidang media khas di Wisma Dewan Negeri Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi fasa awal pelaksanaan program tersebut.

“Kita akan memperuntukkan satu PBT RM1 juta buat masa ini dalam tempoh beberapa bulan… dan kita akan lanjutkan jika ia memberi kesan yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek pemakanan akan diberi perhatian bagi memastikan pelajar menerima makanan yang berkualiti.

“Saya nak pastikan juga kualiti makanannya itu makanan yang baik, berprotein ataupun bergizi yang baik,”katanya.

Program itu merupakan sebahagian langkah kerajaan negeri dalam menangani kesan krisis global terhadap kos sara hidup, khususnya melibatkan perbelanjaan isi rumah.