Perang tak ganggu : Pusat data Malaysia diteruskan

Di sebalik kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global susulan konflik di Asia Barat, Malaysia menegaskan projek pembangunan pusat data negara kekal berjalan seperti dirancang tanpa sebarang gangguan setakat ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pelaksanaan projek berkenaan, termasuk dalam sektor digital lain, masih mengikut jadual dengan beberapa daripadanya sudah mula beroperasi.

“Ada juga projek yang sudah mula beroperasi dan ada yang dalam proses dibina selain ada yang masih dalam proses memuktamadkan perjanjian… jadi ia diteruskan seperti biasa,” katanya kepada pemberita.

Gobind berkata demikian selepas merasmikan pejabat wilayah selatan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Fariz Fadzil.

Menurutnya, Malaysia kekal berada di landasan tepat dalam usaha mencapai aspirasi sebagai negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, meskipun perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kesan daripada konflik global.

“Kita masih ‘on track’… tetapi kita perlu buat persiapan sekiranya ada kesan yang mungkin menjejaskan visi ini pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Malaysia giat melaksanakan pelan tindakan AI kebangsaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.

Dalam masa sama, Gobind berkata kementerian mencadangkan MDEC memperkukuh kolaborasi dengan industri bagi mengenal pasti teknologi baharu dan memastikan kesiapsiagaan negara.

“Teknologi sentiasa berubah… kita tidak mahu keadaan di mana teknologi baharu muncul tetapi kita tidak bersedia untuk menggunakannya,” katanya.