PKR Kedah ‘sekolahkan’ Exco Kedah isu hubungan antarabangsa

PKR Kedah menyelar kenyataan ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, berhubung pendekatan diplomasi kerajaan Persekutuan yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Pengarah Komunikasi MPN PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah, berkata hujah dikemukakan itu tidak mencerminkan realiti semasa dunia yang kini berdepan krisis pantas, kompleks dan saling berkait.

Menurutnya, kepimpinan moden menuntut komunikasi yang lebih segera dan fleksibel antara pemimpin dunia tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada saluran formal.

“Diplomasi kini tangkas dan tidak lagi terikat kepada kerangka formal semata-mata. Perdana Menteri menerima panggilan lebih awal sebelum tampil sebagai orang tengah rundingan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa hubungan melalui panggilan telefon sekadar “diplomasi biasa” sebagai hujah yang dangkal.

Tunku Nashrul berkata keberkesanan pendekatan tersebut terbukti apabila Malaysia berjaya memastikan kapalnya melepasi laluan ketika ratusan kapal lain masih terkandas dalam situasi krisis.

“Inilah bukti keupayaan Diplomasi MADANI yang sentiasa mendahulukan keselamatan serta kepentingan negara,”katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar usaha diplomasi tidak dipolitikkan secara sempit sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

Isu tersebut timbul dalam konteks perbahasan DUN Kedah yang turut menyentuh pendekatan diplomasi kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.