Projek IPR Intan, gaji RM2,500 dari tanam cili?

Program pertanian moden kini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda, dengan kerajaan menyasarkan sehingga 600 peserta baharu menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR-INTAN) tahun ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sasaran itu dibuat susulan prestasi program berkenaan yang menunjukkan peningkatan pendapatan peserta serta minat generasi muda terhadap sektor pertanian.

“Saya meletakkan sasaran… lebih kurang 500 hingga 600 peserta baharu untuk membolehkan mereka turut terlibat dalam pertanian dan meningkatkan pendapatan kehidupan mereka,” katanya selepas meninjau tapak projek ladang cili IPR-INTAN di Presint 9, hari ini.

Menurutnya, sejak dilaksanakan pada 2023, program itu telah melibatkan kira-kira 2,300 peserta dengan jumlah hasil terkumpul mencecah RM22 juta.

Beliau berkata IPR-INTAN bukan sekadar program pertanian biasa, sebaliknya menyediakan ekosistem lengkap termasuk sokongan agensi, kepakaran teknikal serta jaminan pembeli.

“Peserta perlu menjaga tanaman sehingga mahir… mereka datang daripada pelbagai latar belakang, bukan petani, tetapi diberi peluang untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Akmal turut mendedahkan terdapat peserta yang mampu menjana sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan melalui program tersebut.

Dalam masa sama, kejayaan program itu turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada import apabila sebuah syarikat swasta kini mampu mendapatkan bekalan cili tempatan sepenuhnya.

Menurutnya, penyertaan peserta seawal usia 22 tahun membuktikan pertanian moden mempunyai potensi besar sebagai kerjaya masa depan dalam kalangan anak muda.

BACA JUGA Ubat kritikal cukup ke tak? Ikuti apa jawapan KKM