Orang gelak PMX suruh murid cuci tandas, tapi negara maju dah lama buat

OLEH EDY NOOR REDUAN

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) membangkitkan isu tandas sekolah, ada yang sinis dan memperlekehkan. 

Namun, bagi yang berpandangan jauh, ini bukan sekadar soal cuci jamban, tetapi satu “intervensi nasional” untuk merawat barah mentaliti dan ego yang sudah lama bersarang dalam masyarakat kita.

Pada Jun 2023, PMX dengan tegas mengarahkan agar murid-murid dididik untuk mencuci tandas sekolah. Mengapa? Kerana tandas adalah cermin peradaban. 

Jika tandas sekolah pun ‘skala neraka’, bagaimana kita mahu melahirkan generasi yang menghargai harta awam? 

Kebersihan adalah tunggak iman, dan ia bermula dari tempat yang paling kita cuba elakkan.

Langkah ini bukan denda, tetapi pendidikan akhlak (character building). 

PMX sendiri, meski memegang jawatan tertinggi negara, tidak kekok turun padang memeriksa fasiliti tandas sekolah. 

Beliau membuktikan bahawa seorang pemimpin tidak harus berada di menara gading, tetapi mesti peduli pada hal sekecil-kecil kebajikan rakyat, termasuk murid sekolah yang sering dipinggirkan kepentingannya oleh pemimpin lama.

Namun, dalam pada kita berusaha membina bangsa, muncul pula cubaan mensabotaj naratif ini. 

Terbaharu, tular video “troll” yang menggunakan kanak-kanak kononnya mengaitkan isu ini dengan coklat Cadbury. 

Ini adalah tindakan dangkal netizen yang ketandusan modal politik sehingga sanggup memperalatkan anak kecil demi kepentingan agenda sempit mereka.

Syak wasangka ini muncul dipercayai selepas pihak lawan merasa ‘tergugat’ melihat keakraban PMX dengan kanak-kanak, seperti ketika beliau menerima ‘duit raya’ daripada murid di Terengganu. 

Fenomena itu membuktikan kepimpinan Madani sudah meresap masuk ke sanubari generasi muda, maka video troll tersebut hanyalah usaha terdesak untuk menutup imej positif PMX.

Kita harus bertanya kepada ibu bapa yang kononnya ‘geli’ melihat anak memegang penyapu di sekolah, adakah kita mahu terus membiarkan budaya vandalisme berleluasa? 

Dengan mencuci sendiri, pelajar akan sedar bahawa “apa yang anda buat, anda akan rasa kesannya”. 

Biar mereka bergelumang sekejap di sekolah, supaya mereka tidak menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab di masa depan.

Malaysia bukan negara pertama yang melaksanakan ini. Lihatlah Jepun, sebuah kuasa besar ekonomi dunia. Sejak tadika, pelajar mereka diajar membersihkan sekolah termasuk tandas (O-soji). 

Hasilnya? Jepun dikenali sebagai negara paling bersih dan berdisiplin di dunia. 

Mereka tidak melihat cuci tandas sebagai kerja hina, tetapi sebagai latihan kerendahan hati (humility).

Selain Jepun, negara maju seperti Korea Selatan dan Taiwan juga menerapkan modul serupa. Mereka faham bahawa akademik tanpa adab adalah kosong. 

Mereka mendidik pelajar untuk menghormati ruang perkongsian awam. 

Inilah standard global yang cuba dibawa oleh PMX ke dalam sistem pendidikan kita melalui kerangka Malaysia Madani.

Projek ‘Tandas VIP’ yang diusulkan PMX di awal pentadbiran bukan sekadar untuk bermegah, tetapi untuk menetapkan tanda aras (benchmark). 

Apabila fasiliti sudah hebat, tanggungjawab menjaga pula harus dipupuk. Kita mahu menoktahkan stigma bahawa tandas sekolah itu meloyakan dan menyeramkan.

Bayangkan impaknya dalam tiga tahun akan datang. Apabila disiplin ini sudah sebati, anda boleh melangkah masuk ke tandas sekolah tanpa ragu-ragu. 

Kita akan melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdik dalam peperiksaan, tetapi tinggi nilai siviknya. 

Tandas tidak lagi menjadi ‘neraka kecil’, tetapi simbol transformasi mentaliti bangsa.

Janganlah kerana perbezaan politik, kita menggadaikan masa depan akhlak anak-anak. 

Sokonglah usaha murni ini kerana kebersihan itu bukan soal parti, tetapi soal jati diri. Mari kita ubah dogma lama, demi Malaysia yang lebih bersih, lebih beradab, dan lebih Madani !

BACA JUGA RM1 kini lebih bernilai di Indonesia, penjual berebut nak duit Malaysia