Peranan 877 KRT Johor perlu dipantau supaya komuniti lebih aktif dan berfungsi

Pemantauan menyeluruh terhadap peranan 877 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Johor menjadi antara keutamaan kerajaan dalam memastikan setiap komuniti kekal aktif, berfungsi dan memainkan peranan sebagai saluran penyampaian maklumat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, KRT bukan sekadar platform kejiranan, sebaliknya perlu diperkasa sebagai saluran penting penyampaian maklumat dan pemangkin perpaduan di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, usaha memperkasa KRT di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian, di samping meningkatkan penglibatan semua kaum serta memastikan usaha peremajaan KRT terus diperkukuh dengan penyertaan lebih ramai golongan muda.

“Dalam masa yang sama, saya turut mencadangkan agar diwujudkan jaringan hubungan secara terus antara KRT di seluruh negara, sama ada secara digital atau fizikal, supaya setiap KRT dapat berkongsi aktiviti, idea, inovasi dan amalan terbaik. 

“Pendekatan ini mampu mewujudkan persaingan sihat serta menjadikan KRT lebih proaktif dalam mendekati masyarakat setempat.

“Dengan komitmen berterusan semua pihak, agenda perpaduan negara akan terus diperkasa demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu beliau mengadakan lawatan kerja ke selatan tanah air dengan mengadakan pertemuan bersama warga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor.

Dalam lawatan tersebut, beliau menerima taklimat menyeluruh daripada Pengarah JPNIN Johor berhubung aspek organisasi, skop pelaksanaan serta maklumat lokaliti bagi setiap kawasan di negeri Johor, yang merupakan antara negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.

Turut bersama dalam sesi ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Strategik) JPNIN, Saudara Norzahiruddin Amin Husin, Pengarah JPNIN Negeri Johor, Hajah Nurul Akmalina Haji Shamsuddin, serta Pegawai-Pegawai Perpaduan Daerah seluruh negeri Johor

BACA JUGA PM titip doa kepada jemaah Malaysia, semoga dapat haji mabrur