Petronas akan berunding beli minyak dengan Rusia
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Petronas akan berunding dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak.
Beliau berkata, banyak negara Eropah dan Amerika yang dahulu menyekat Rusia terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan.
“Nasib baik hubungan kita dengan Rusia masih baik, jadi pasukan Petronas boleh berunding dengan Rusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) hari ini.
Sementara itu Anwar berkata, tindakan diplomasi awal kerajaan telah berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz.
Perkara itu sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.
“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah tiba di Pengerang sebagai kapal pertama yang sampai ke destinasi tersebut. Ketibaan di Pengerang adalah kerana proses pemprosesan minyak hanya dapat dilakukan di fasiliti di Pengerang.
“Kapal ini merupakan antara yang terawal diberikan laluan. Namun, situasi semasa masih belum menemui penyelesaian muktamad berhubung ketegangan antara tekanan Amerika Syarikat yang berusaha menguasai rantau tersebut, Iran yang mempertahankan haknya, serta tuntutan negara-negara Eropah berkaitan masa depan Selat Hormuz,” katanya.