Reben Merah dilancar, Wanita AMANAH gesa dunia bangkit

AMANAH menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak berdiam diri susulan kelulusan undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin oleh Parlimen Knesset Israel, yang disifatkan sebagai bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia.

Ketua Wanita parti itu, Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan pelaksanaan undang-undang itu dilihat berat sebelah kerana hampir keseluruhannya terpakai kepada rakyat Palestin.

Kelulusan undang-undang itu juga jelas merupakan satu bentuk diskriminasi dan kekejaman yang menyalahi keadilan undang-undang sejagat serta hak kemanusiaan apabila perbicaraan dilakukan di mahkamah tentera yang hanya mengadili tahanan Palestin, bukan warga Israel Yahudi.

Selain itu, undang-undang itu juga menyaksikan definisi kesalahan yang dirangka dan diluluskan tidak meliputi pelaku Yahudi dalam kebanyakan kes.

“Undang-undang yang diluluskan ini juga membawa perubahan kepada sistem penjara Israel sedia ada iaitu tahanan yang dijatuhi hukuman mati akan ditempatkan dalam kurungan persendirian (solitary confinement) serta akses kepada mereka dihadkan dan proses pelaksanaan hukuman dirahsiakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sehubungan itu, Athirah berkata, masyarakat antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak boleh berdiam diri atau sekadar menyuarakan bantahan dengan mengeluarkan kenyataan media semata-mata.

Tekanan diplomatik

Wanita AMANAH turut menggesa agar tekanan diplomatik dipertingkatkan terhadap Israel bagi memastikan undang-undang tersebut dibatalkan, selain memastikan prinsip hak asasi manusia dihormati tanpa kompromi.

“Wanita AMANAH menegaskan bahawa keadilan hanya berupaya ditegakkan tanpa diskriminasi iaitu semua individu berhak dilayan sama disisi undang-undang tanpa mengira bangsa, agama, kewarganegaraan, latar belakang politik dan status sosial.

“Setiap nyawa manusia mempunyai nilai yang sama dan tidak boleh dinafikan haknya oleh mana-mana sistem perundangan,” tegasnya.

Dalam masa sama, Wanita AMANAH turut melancarkan Kempen Kemanusiaan “Red Ribbon” sebagai simbol solidariti terhadap tahanan Palestin serta usaha memperjuangkan keadilan tanpa diskriminasi.

“Kempen ini adalah satu manifestasi yang mendukung hak semua individu untuk terus hidup dan usaha dalam memastikan hak para tahanan dilindungi serta keadilan diberikan,” kata Athirah lagi.

BACA JUGA Kebakaran besar musnahkan ratusan rumah di Sandakan, ini keutamaan PM Anwar