Dolar makin hilang ‘kuasa’? Malaysia ada peluang atau ketinggalan – Jomo

Perubahan besar dalam sistem kewangan global kini membuka ruang baharu kepada negara seperti Malaysia, ketika dominasi dolar Amerika Syarikat semakin dicabar oleh perkembangan geopolitik dan ekonomi semasa.

Trend yang semakin ketara ialah usaha negara-negara dunia untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS, atau dikenali sebagai “de-dollarisation”, susulan ketidaktentuan dasar ekonomi dan pendekatan unilateral Washington.

Jomo Kwame Sundaram dalam analisisnya menjelaskan bahawa tindakan agresif dan penggunaan dasar ekonomi sebagai alat tekanan telah mengurangkan keyakinan terhadap sistem kewangan global yang diterajui Amerika Syarikat.

“Tindakan agresif Trump telah mengurangkan penglibatan ekonomi dengan Amerika Syarikat, sekali gus secara tidak langsung mempercepatkan proses penyahdolaran (de-dollarisation),”katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Amerika Syarikat kini semakin bersifat transaksional, iaitu lebih menumpukan kepada keuntungan segera melalui rundingan satu lawan satu, berbanding kerjasama pelbagai hala yang seimbang.

“Ketidaktentuan yang terhasil telah mengurangkan pelaburan dan memburukkan lagi keadaan kemelesetan,”menurut beliau.

Pendekatan yang bersifat transaksional ini dilihat meningkatkan risiko kepada negara-negara lain, khususnya apabila hubungan ekonomi dijadikan alat tawar-menawar yang memihak kepada kuasa besar.

Dalam konteks ini, perubahan landskap global membuka peluang kepada negara seperti Malaysia untuk menilai semula strategi ekonomi dan kewangan, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar serta memperkukuh kerjasama serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menegaskan keperluan mengurangkan kebergantungan kepada dolar dalam perdagangan serantau.

“Tidak ada sebab untuk Malaysia terus bergantung sepenuhnya kepada dolar Amerika dalam urusan perdagangan, khususnya dalam kalangan negara ASEAN,” kata beliau ketika lawatan rasmi ke China pada Mac 2023.

Kenyataan tersebut dilihat selari dengan perkembangan semasa yang menyaksikan semakin banyak negara mula meneroka penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan bagi mengurangkan risiko ketidaktentuan global.

Namun, Jomo turut memberi gambaran bahawa ketidaktentuan global yang berterusan boleh memberi kesan meluas kepada semua negara, termasuk melalui gangguan pelaburan dan tekanan ekonomi yang berpanjangan.

Sehubungan itu, pemerhati ekonomi melihat keperluan dasar yang responsif serta strategi jangka panjang bagi memastikan Malaysia bukan sahaja mampu menyesuaikan diri, tetapi juga memanfaatkan perubahan ini secara strategik.

Peralihan kepada dunia yang lebih multipolar kini bukan lagi sekadar teori, sebaliknya sedang berlaku secara nyata  dan persoalan utama ialah sejauh mana Malaysia bersedia untuk menghadapinya.