Kedudukan Tuanku Muhriz kekal sah- MB Aminuddin
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengesahkan wujud percubaan mencetuskan kekeliruan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir, namun menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah tidak sah dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.
Dalam kenyataan awal pagi hari ini, Aminuddin menolak tindakan individu dikenali sebagai Dato’ Mubarak Dohak yang sebelum ini dilucutkan jawatan sebagai Undang Sungai Ujong sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima” serta tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut perundangan mahupun adat.
Menurut beliau, pelucutan jawatan tersebut telah dibuat secara sah melalui proses yang ditetapkan di bawah adat Perpatih, berkuat kuasa pada 13 Mei tahun lalu, selepas individu berkenaan didapati melanggar 33 peruntukan adat.
Aminuddin turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut telah diperakui oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu, sekali gus mengesahkan bahawa Mubarak bukan lagi Undang yang sah.
Dalam struktur adat Negeri Sembilan, hanya empat Undang yang mempunyai kuasa memilih Yang di-Pertuan Besar. Justeru, sebarang kenyataan daripada individu yang tidak lagi memegang jawatan tersebut dianggap tidak mempunyai asas.
Sebagai perbandingan, Menteri Besar turut merujuk kepada kes pada tahun 2016, di mana seorang Undang turut dilucutkan jawatan atas pelanggaran adat, membuktikan bahawa tindakan sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa dalam sistem pemerintahan adat negeri itu.
Kenyataan ini hadir susulan tularnya khabar angin mengenai cubaan “rampasan kuasa” terhadap institusi diraja Negeri Sembilan sejak petang semalam.
Walaupun spekulasi tersebut mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat dan pemerhati institusi diraja, kerajaan negeri menegaskan bahawa kedudukan Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir kekal sah, stabil dan tidak terjejas.
Aminuddin dalam masa sama menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menggugat keharmonian negeri serta institusi diraja.
“Sebarang dakwaan yang dibuat oleh pihak tidak berautoriti tidak harus dilayan, apatah lagi disebarkan,” tegas beliau.
BACA JUGA Ini bukan FB parti! – Netizen ‘sound’ hantaran politik di portal rasmi kerajaan di Pantai Timur