Pondok masuk era AI: PM komited laksana Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam
Institusi pendidikan pondok di Malaysia kini melangkah ke fasa baharu apabila kerajaan MADANI memulakan usaha mentransformasikan sistem pembelajaran mereka ke arah digital, termasuk penerapan kecerdasan buatan (AI).
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau hari ini menerima kunjungan enam wakil pondok terpilih dalam program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) di Putrajaya, sekali gus menandakan permulaan projek rintis berkenaan.

Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut digerakkan melalui kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperkasa sistem pendidikan Islam agar selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Antara institusi yang terlibat sebagai perintis ialah Maahad Tarbiah Islamiah di Derang, Pokok Sena; Pusat Pengajian Pondok Kandis di Bachok; Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI) di Rembau; Pusat Pendidikan Ribath Al-Musthofa di Kuantan; Pondok Darul Furqan di Ipoh serta Maahad Ihya Ulumiddin di Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.
Dalam pertemuan itu, Anwar menzahirkan keyakinan bahawa institusi pondok mampu meneroka bidang baharu tanpa mengabaikan tradisi turath al-Islami yang menjadi teras pendidikan mereka selama ini.
Beliau turut menegaskan bahawa penguasaan teknologi digital, khususnya kecerdasan buatan, kini menjadi keperluan penting dalam mendepani cabaran semasa, termasuk dalam memperluas akses ilmu dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran.
“Moga ikhtiar ini akan membina landasan yang kukuh dengan asas yang kuat bagi masa hadapan pendidikan Islam di rantau ini,” menurut Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA MP Pas sah fitnah, akhirnya akui sekolah-sekolah dibenar laung takbir dan baca Qunut Nazilah