RM5 bilion ringankan tekanan PMKS akibat krisis tenaga global, ini sektor yang diutamakan
Peruntukan sehingga RM5 billion disediakan di Bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis tenaga global berikutan perang Asia Barat.
Antara sektor terbabit yang diberikan keutamaan ialah bidang pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, jaminan bagi sektor yang terkesan itu ditambah baik, berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus (biasa 70 peratus) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun (biasa tujuh tahun).
“SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar,” menurut kenyataan MoF hari ini.
Jelasnya, skim SJPP setakat ini terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS.
Kementerian berkata, sebanyak lebih 50,000 PMKS dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Dalam masa sama, MoF turut mengumumkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-invois fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Tempoh itu juga, jelasnya, merangkumi kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan serta pengecualian penalti sepanjang tempoh berkenaan.
Selain itu, MoF juga memaklumkan bahawa pertimbangan secara interim diberikan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik sehingga 31 Disember depan.
“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudah cara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” katanya.
Menurut MoF, langkah tersebut langkah tersebut diputuskan hasil libat urus antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dengan PMKS hari ini dan minggu lalu bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan.
Ia bertujuan membantu perniagaan yang terkesan dari segi kos operasi dan rantaian bekalan.
Tempias konflik
Menyentuh mengenai tempias konflik Asia Barat, MoF berkata, ia ternyata memberi kesan meluas kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain.
Sehubungan itu, kementerian berkata, libat urus bersama PMKS komuniti Cina dan India hari ini adalah sebahagian daripada gerak kerja berterusan Kerajaan MADANI sejak awal krisis.
Ia dilakukan selepas libat urus antara Perdana Menteri bersama PMKS Bumiputera pada minggu lalu, sekali gus membuktikan tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.
“Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada mereka yang paling memerlukan,” kata Kementerian Kewangan lagi.
BACA JUGA ‘Indian Wave, Chinese Wave…’, ketahui dalang politik adu domba ini