ADUN Kota Damansara sokong pelebaran jalan Sungai Buloh, atasi kesesakan masa depan

SHAH ALAM, 21 April 2026 — Sidang Media oleh YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim, ADUN Kota Damansara berkenaan Tapak Nurseri Sungai Buloh di Dewan Annex, Wisma Dewan Negeri, Shah Alam, Selangor. 21hb April 2026 (Selasa)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim menyokong keperluan pembinaan dan pelebaran Jalan Sungai Buloh sebagai langkah penting menangani kesesakan serta menyokong pembangunan masa depan kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan di Dewan Annex, Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini, yang turut menyentuh isu pengosongan tapak nurseri di sepanjang laluan tersebut.

Menurut beliau, projek pembangunan di kawasan KWASA Damansara ketika ini hanya mencapai sekitar 30 peratus, dengan baki 70 peratus lagi dijangka siap menjelang 2060.

“Jalan ini perlu dibina sekarang kerana jika ditangguhkan, kos akan meningkat dan pelaksanaan akan menjadi lebih sukar apabila pembangunan sudah padat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa sebagai wakil rakyat, beliau turut membawa tuntutan pengusaha nurseri kepada kerajaan negeri, termasuk memohon lanjutan tempoh pengosongan tapak.

“Hasil perbincangan, kita berjaya mendapatkan tambahan tempoh selama empat bulan bagi memberi ruang kepada pengusaha mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengusaha sebelum ini telah beroperasi di tapak berkenaan selama kira-kira 27 tahun, walaupun tempoh perjanjian terakhir hanya membenarkan operasi selama dua tahun.

Katanya, berdasarkan perjanjian dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, kerajaan negeri sebenarnya mempunyai hak untuk menamatkan operasi dengan notis sebulan, namun tempoh itu dilanjutkan demi mengambil kira kebajikan pengusaha.

Mengulas cadangan penempatan semula di Bukit Changgang, beliau mengakui kos pembangunan yang tinggi menjadi kekangan utama, termasuk kerja-kerja meratakan tanah yang dianggarkan mencecah RM10 juta.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pengusaha mempertimbangkan model pembangunan baharu seperti mewujudkan pusat agro pelancongan secara bersepadu yang berpotensi menjana pendapatan lebih mampan.

Dalam pada itu, beliau tidak menggalakkan cadangan berpindah ke kawasan di bawah laluan utiliti seperti rentas TNB kerana ia bukan penyelesaian jangka panjang serta tidak membenarkan pembinaan kekal.

“Yang penting sekarang adalah mencari penyelesaian ‘once and for all’ dalam tempoh empat bulan ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebahagian besar pengusaha yang terlibat merupakan fasa terakhir selepas dua fasa terdahulu telah berpindah ketika kerja pelebaran jalan dilaksanakan sebelum ini.

Tambahnya, kawasan tersebut juga melibatkan perancangan pembangunan utiliti oleh Air Selangor, sekali gus mengukuhkan keperluan pengosongan tapak.

Muhammad Izuan menegaskan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan infrastruktur dan utiliti bagi memastikan kesejahteraan penduduk masa depan, khususnya menjelang pembangunan pesat kawasan Kota Damansara.

“Perancangan ini bukan sahaja untuk menangani kesesakan, tetapi juga membuka potensi kawasan ini sebagai hab industri dan pelancongan pada masa hadapan,” katanya.